Pensyarah UUM ungguli Anugerah Kecemerlangan Wanita Dalam Penyelidikan, MRSA 2025
Gambar Ihsan Prof. Ts. Dr. Norazah Mohd Suki
PUTRAJAYA, 7 November 2025: Pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Ts. Dr. Norazah Mohd Suki dari Othman Yeop Abdullah Graduate School of Business (OYAGSB) terus melakar sejarah apabila beliau menerima Anugerah Kecemerlangan Wanita Dalam Penyelidikan bagi Kategori Seni Kemanusiaan dan Sains Sosial (AHSS) pada Majlis Anugerah Malaysia Scopus Research Star Award sempena Festival of Idea (FOI) Putrajaya, semalam.

Penganugerahan ini diberikan sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan cemerlang beliau dalam kategori Sastera, Kemanusiaan dan Sains Sosial.
Anugerah berprestij ini dianjurkan oleh Elsevier dengan kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia (KPT) bagi menghargai penyelidik yang menunjukkan kecemerlangan akademik, inovasi dan impak penyelidikan.
MRSA telah dirasmikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Dr. Zambry Abd Kadir dan bersama Naib Presiden Serantau Elsevier, Jessica Low.
Penganugerahan disampaikan dalam lima kategori utama, iaitu Anugerah Kecemerlangan Inovasi Dalam Penyelidikan, Anugerah Kecemerlangan Penyelidikan Awal Kerjaya, Anugerah Kecemerlangan Penyelidikan Kelestarian, Anugerah Kecemerlangan Wanita Dalam Penyelidikan, dan Anugerah Perintis Cemerlang.

Dr. Norazah menerima pengiktirafan tersebut yang disampaikan oleh Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Dato’ Prof. Dr. Azlinda Azman.
Dengan H-index Scopus sebanyak 40, 199 penerbitan, dan melebihi 5,000 petikan di pengkalan data Scopus, beliau diiktiraf antara penyelidik paling prolifik dan kerap dirujuk dalam bidang sains sosial di Malaysia.
Beliau merakamkan penghargaan kepada semua terutamanya UUM dan OYAGSB yang telah memberikan sokongan berterusan.
“Sokongan institusi yang kukuh ini telah menjadi pemangkin utama dalam usaha sata untuk terus menerbitkan artikel berimpak tinggi dalam jurnal bereputasi dan diindeks Scopus, sekali gus menyumbang secara signifikan kepada perkembangan ilmu dan komuniti penyelidikan sains sosial di peringkat nasional dan antarabangsa,” katanya yang menerima hadiah wang tunai RM2,000.
Dr. Norazah turut mencipta sejarah sebagai wanita pertama negara tersenarai dalam kelompok dua peratus saintis terbaik dunia selama tujuh tahun berturut-turut dari 2019 hingga 2025 berdasarkan senarai yang diterbitkan oleh Universiti Stanford dan penerbit akademik Elsevier yang menilai lebih sembilan juta penyelidik dari seluruh dunia.

Pencapaian ini menjadi inspirasi kepada penyelidik muda dan membuktikan bagaimana kepimpinan akademik mampu membentuk pembangunan negara.
MRSA 2025 merupakan antara acara kemuncak dalam Festival Idea Putrajaya (FOI) 2025, sebuah festival ilmu dan inovasi anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang akan berlangsung dari 4 hingga 8 November 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), KPT, Dato’ Dr. Megat Sany Megat Ahmad Supian selaku Menjalankan Fungsi Pengerusi LPU UUM dan Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan.



