PERKESO, UUM perkukuh kolaborasi strategik melalui Mesyuarat SOSCOE 2026
Berita dan gambar Mohamad Khairul Hafiz Saidin
KUALA LUMPUR, 1 Mac 2026: Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Universiti Utara Malaysia (UUM) terus memperkukuhkan kolaborasi strategik menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Social Security Management Centre of Excellence (SOSCOE) Bil. 1/2026 yang berlangsung di Menara PERKESO, baru-baru ini.
Mesyuarat dihadiri Naib Canselor, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed dan Timbalan Ketua Eksekutif (Operasi), Azirruan Arifin mewakili Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO.
Dr. Ahmad Martadha berkata, memasuki lembaran baru 2026, SOSCoE ingin lebih menfokuskan kepada penawaran program Sarjana Pengurusan Keselamatan Sosial (MSc. SSM) yang dijangka akan ditawarkan pada bulan Oktober 2026 ini.

Di samping itu, menurutnya, pihak SOSCoE akan memantapkan program akademik Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Sumber Manusia dengan Pengurusan Keselamatan Sosial (BHRM with SSM), selari dengan aspirasi dan objektif penubuhan SOSCoE sebagai Pusat Kecemerlangan Pengurusan Keselamatan Sosial yang bukan sahaja berperanan dalam aspek kajian tetapi juga sebagai pusat yang dapat melahirkan perintis-perintis Pengurusan Keselamatan Sosial mahir yang diiktiraf Malaysia/Kementerian Pendidikan Tinggi.
“Bagi tahun ini juga, SOSCoE berhasrat untuk membangunkan Model Pengurusan Warga Kurang Upaya di Kampus (Model of Disabilities Management in Campus (MDMC)) dengan kerjasama Cawangan Pengurusan Hilang Upaya, PERKESO Putrajaya. Ini selaras dengan dasar Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026 – 2035 yang menawarkan Pendidikan Percuma bagi Mahasiswa Orang Kurang Upaya (OKU).
“Pihak UUM yakin dengan kepakaran dan pengalaman yang luas pihak PERKESO sebagai agensi yang dominan menguruskan orang kurang upaya di Malaysia dapat membantu UUM untuk mencapai hasrat ini,” katanya.
Beliau juga berharap kerjasama antara PERKESO-UUM dapat memberikan impak yang positif terhadap pengamal industri dan majikan selain memberi peluang kepada orang awam untuk mendalami pemahaman serta meningkatkan pengetahuan mereka dalam bidang keselamatan sosial agar dapat menyumbang kepada universiti khususnya dan negara amnya.

Sementara itu, Azirruan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan (SBM) UUM serta semua Bahagian terlibat di PERKESO atas kerja keras dalam merancang dan menjayakan program SOSCoE sepanjang tahun 2025.
“Tahniah kepada 18 pelajar program Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Sumber Manusia (Minor Pengurusan Keselamatan Sosial) akan menamatkan pengajian mereka tidak lama lagi dan saya berharap kerjasama daripada pihak UUM agar sesi konvokesyen bagi graduan sulung ini diadakan pada Sesi Pertama supaya skrol mereka dapat disampaikan sendiri oleh KDYMM Sultan Kedah,” katanya.
Selain itu, antara inti pati mesyuarat adalah Projek National Social Security Survey (NESS) akan diperluaskan ke peringkat nasional pada tahun 2026 setelah melalui fasa pilot yang berjaya pada 2025. Kajian ini bakal menjadi asas penting dalam penggubalan dasar keselamatan sosial yang lebih mampan dan responsif.
Di samping itu, sebanyak RM494,000 telah diluluskan oleh Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif SOSCOE Bil.1/2026 bagi merealisasikan program-program yang telah dirancang iaitu bidang akademik, penerbitan jurnal, penyelidikan berimpak tinggi, serta inisiatif kampus inklusif mesra OKU pada tahun 2026.
Kerjasama yang kini memasuki tahun kelima ini membuktikan sinergi antara agensi kerajaan dan institusi akademik berupaya menghasilkan impak positif menyeluruh kepada pengamal industri, majikan, pekerja serta masyarakat awam di Malaysia.



