General

PERISAI UUM jalin kerjasama dengan A-Heart UniMAP demi kebajikan Anak Istimewa

Berita dan gambar oleh Prof. Madya Dr. Zakirah Othman

SINTOK, 4 November 2025 – Persatuan Staf UUM yang Mempunyai Anak Istimewa (PERISAI), sebuah persatuan di bawah naungan Majlis Kebudayaan, Sukan dan Kebajikan (MKSK), Universiti Utara Malaysia (UUM), telah mengunjungi Hub Sumber Pendidikan dan Latihan Autisme (A-Heart: Autism Hub for Educational Resources and Training), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) baru-baru ini.

Menurut Ketua Pustakawan yang juga Pengarah Program Tanggungjawab Sosial Universiti (USR) UniMAP, Mazmin Mat Akhir, “A-Heart ialah pusat yang menyediakan khidmat terapi untuk masyarakat B40 di Perlis yang mempunyai anak-anak autisme.

Pusat yang dinaungi oleh Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Raja Muda Perlis ini berperanan seiring dengan tujuan perpustakaan iaitu perkongsian manfaat kepada semua golongan. Cetusan ini bermula dengan sebuah sudut kecil di perpustakaan dan ditambah baik secara berperingkat, selain pelbagai kerjasama di peringkat nasional dan antarabangsa, khususnya bersama Yayasan Bank Rakyat dan McDonald’s.”

Inisiatif kunjungan ini selaras dengan aspirasi PERISAI dalam menjaga kebajikan dan keperluan komuniti staf yang mempunyai anak berkeperluan khas. Turut hadir ialah Pengerusi Kesatuan Kakitangan Universiti Utara Malaysia (KESKA), Affendi Askandar.

Menurut Pengerusi PERISAI, Dr. Norizan Azizan, “Kunjungan ini merupakan komitmen PERISAI dalam merealisasikan hasrat untuk mewujudkan pusat setempat di UUM khusus bagi staf dan anak-anak istimewa mereka, dan inisiatif ini telah mendapat sokongan penuh daripada Naib Canselor UUM.”

Kunjungan penanda aras ini juga merupakan susulan kepada lawatan ke Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Universiti Sains Malaysia (USM) sebelum ini. Jaringan kerjasama antara universiti amat diperlukan untuk membina peluang sinergi dalam bidang penyelidikan, latihan, perundingan, dan pembangunan komuniti berkaitan anak-anak istimewa.

Selain itu, kepelbagaian dan kelainan tujahan bidang tumpuan setiap institusi yang saling menyokong mampu memberikan manfaat terhadap kesejahteraan pendidikan dan kebajikan bersama.

Turut hadir, pengerusi Kesatuan Kakitangan Universiti Utara Malaysia (KESKA), Encik Affendi Askandar sebagai khidmat sukarelawan yang berterusan dalam usaha ini.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button