Pesara UUM ikrar terus beri sumbangan
Gambar oleh Unit Foto, Jabatan Komunikasi Korporat
SINTOK, 31 Disember 2025: Seramai 75 orang pesara UUM bagi tahun 2025 telah diraikan dalam majlis Majlis Sanjungan Bakti yang berlangsung di Dewan Sri Angsana, EDC-UUM, petang semalam melibatkan 39 staf akademik dan 36 staf pentadbiran yang menamatkan perkhidmatan melalui persaraan wajib, pilihan dan terbitan.
Naib Canselor UUM, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed, berkata sumbangan para pesara merupakan satu jejak amanah dan ibadah yang membentuk kecemerlangan universiti sejak penubuhannya.

“UUM bukan sekadar tempat bekerja, tetapi medan mencurah bakti, membina ilmu dan mencorak masa depan generasi pewaris negara. Sumbangan para pesara amat besar nilainya dan tidak akan dilupakan,” katanya.
Beliau turut merakamkan rasa dukacita atas pemergian sembilan orang staf UUM sepanjang tahun 2025, serta menegaskan komitmen universiti dalam menjaga kebajikan pesara, termasuk perlindungan kos perubatan dan kemudahan rawatan di Pusat Kesihatan dan Kesejahteraan Universiti (PKKU).

Selain itu, UUM turut membuka peluang kepada pesara berumur 65 tahun ke bawah untuk meneruskan caruman Skim Pembiayaan Rawatan Hospital UUM berkonsepkan Tabarru’ dan Takaful bagi rawatan di hospital swasta.
Sementara itu, Wakil Pesara UUM. Prof. Ts. Dr. Suhaidi Hassan turut berjanji untuk terus menyumbangkan khdmat kepada UUM sebagai tanda terima kasih kepada UUM.

Sambil merakamkan ucapan tahniah kepada Prof. Dr. Ahmad Martadha atas pelantikan beliau sebagai Naib Canselor UUM baharu serta menyatakan penghargaan kepada mantan Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan, atas jasa dan legasi kepimpinannya, Dr. Suhaidi berkata:
“Puluhan tahun kami menabur bakti dalam pelbagai peranan, namun semuanya berpadu pada satu matlamat, iaitu melahirkan insan yang berdiri atas ilmu, budi dan bakti,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa persaraan hanyalah satu peralihan fasa, dan hubungan para pesara dengan UUM akan terus kekal sebagai gedung ilmu dan kenangan bermakna.
Majlis tersebut turut dihadiri barisan pengurusan tertinggi universiti, ketua jabatan, pegawai kanan serta warga UUM.



