Prof. Dr. Haslinda dan Dr. Mohamad Fitri terima Anugerah Akademik Negara Ke-16
Gambar Hairul Nizam Zahari
SUBANG JAYA, 24 Oktober 2025: Universiti Utara Malaysia (UUM) mencatat sejarah apabila dua pensyarahnya menerima pengiktirafan pada Anugerah Akademik Negara (AAN) Ke-16, selepas kali terakhir universiti itu memperoleh anugerah berkenaan pada 2018.
Dua penerima tersebut ialah Prof. Dr. Haslinda Ibrahim dari Pusat Pengajian Sains Kuantitatif (SQS) yang menerima Anugerah Pengajaran bagi Kelompok Sains Tulen, dan Ts. Dr. Mohamad Fitri Mohamad Haris dari Pusat Pengajian Pengurusan Industri Kreatif dan Seni Persembahan (SCIMPA) yang menerima Anugerah Seni dan Kreativiti (Kelompok Seni Persembahan).

Kedua-dua mereka menerima sijil penghargaan dan wang tunai berjumlah RM50,000.
Ketika ditemui, Dr. Haslinda menyatakan penghargaan atas penerimaan anugerah tersebut dan menjelaskan bahawa bidang pengajarannya menggunakan pendekatan pemikiran ahli matematik untuk meningkatkan inovasi dan kreativiti pelajar dalam bidang matematik.

Beliau turut menyatakan bahawa UUM turut mempunyai bidang sains tulen walaupun universiti itu lebih dikenali sebagai universiti pengurusan.
“Saya menyeru rakan pensyarah supaya berani mencuba dan berusaha mencapai kejayaan dalam bidang masing-masing,” katanya.
Sementara itu, Dr. Mohamad Fitri turut menyatakan penghargaan atas pengiktirafan yang diterima.
Menurutnya, penilaian anugerah itu melibatkan aspek penyelidikan dan kaitan antara kreativiti dengan bidang pengajaran.

Beliau terlibat dalam industri nasyid selama hampir 23 tahun dan dalam bidang akademik selama 12 tahun. Gabungan kedua-dua bidang tersebut menjadi faktor yang menyumbang kepada pencapaiannya.
“Terima kasih kepada UUM dan SCIMPA atas sokongan dan bimbingan yang diberikan sepanjang kerjaya saya sebagai ahli akademik,” katanya.
Kejayaan kedua-dua pensyarah ini diraikan bersama Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan, serta pengurusan tertinggi universiti.
Dr. Mohd Foad berkata, pencapaian tersebut membuktikan kualiti pengajaran dan pembelajaran di UUM berada pada tahap tinggi di peringkat kebangsaan.

Beliau turut menggalakkan pensyarah lain menjadikan kejayaan ini sebagai inspirasi untuk terus berusaha mencapai pengiktirafan akademik.
Majlis penyampaian anugerah disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Dr. Zambry Abdul Kadir, yang mewakili Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, di Dorsett Grand Hotel.
Anugerah Tokoh Akademik Negara dianugerahkan kepada Prof. Emeritus Datin Dr. Siti Zuraina Abdul Majid dari Universiti Sains Malaysia (USM), yang menerima sijil dan wang tunai RM200,000.
Anugerah Pengajaran (Kelompok Sains Kesihatan) diterima oleh Dr. Manraj Singh Cheema, manakala Anugerah Pengajaran (Kelompok Sastera Gunaan dan Sains Sosial Gunaan) dimenangi oleh Dr. Rahimah Jamaludin, kedua-duanya dari Universiti Putra Malaysia (UPM).

Anugerah Penerbitan Makalah Jurnal bagi Bidang Sains dimenangi oleh Prof. Madya Dr. Gan Wee Chen dari Universiti Xiamen Malaysia, dan bagi Bidang Sains Sosial dan Sastera dimenangi oleh Prof. Madya Dr. See Kok Fong dari USM.
Anugerah Penerbitan Buku diterima oleh Prof. Madya Dr. Norhayati Mohd Noor, manakala Anugerah Inovasi dan Pengkomersialan Produk dimenangi oleh Prof. Madya Dr. Muhammad Firdaus Akbar Jalaludin Khan dari USM.
Setiap penerima anugerah menerima sijil serta wang tunai bernilai RM50,000.


