General

Program Inkubator Perniagaan S-CUBE@UUM 2023/2024 Fasa 3: Sprint (Advanced Training) mantapkan potensi usahawan muda

Gambar CEDI

GEORGETOWN, 13 Mei 2025: Program Inkubator Perniagaan S-Cube@UUM 2023/2024 Fasa 3: Sprint (Advanced Training) telah berlangsung selama tiga hari bermula dari 4 hingga 6 Mei lalu di Vouk Hotel Suites.

Program ini merupakan anjuran Institut Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi (CEDI) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Timbalan Pengarah CEDI, Dr Saiful Azizi Ismail berkata, Fasa 3: Sprint memberi fokus utama kepada penilaian kejayaan perniagaan peserta berdasarkan Business Model Canvas (BMC) yang telah dibangunkan dalam fasa sebelumnya. Proses bedah siasat BMC ini membantu peserta menilai sejauh mana model perniagaan mereka berjaya dan mengenal pasti peluang untuk penambahbaikan dalam perjalanan perniagaan masing-masing.

Menurutnya, program ini juga menekankan latihan yang lebih intensif ke atas strategi perniagaan, pemasaran digital, pengurusan kewangan dan kemahiran pembentangan (pitching) melalui sesi coaching and mentoring yang dikendalikan oleh mentor akademik yang dilantik.

“Fasa 3: Sprint adalah platform kritikal bagi meguji kefahaman peserta dalam persekitaran berisiko rendah sebelum memasuki fasa seterusnya yang lebih mencabar.

“Fasa ini merupakan medan sebenar untuk para peserta mengasah kemahiran dan menilai sejauh mana kesesuaian model perniagaan dalam dunia sebenar dan bagaimana untuk menyesuaikannya dengan dinamik industri semasa,” katanya.

Teknik bedah siasat Business Model Canvas (BMC) dikendalikan oleh Dr. Maliani Mohammad dari Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan (SBM) bagi melihat sejauhmana kejayaan dan masalah yang dihadapi oleh perniagaan mereka.

Peserta turut dibekalkan dengan ilmu keusahawanan dan latihan praktikal untuk mengendalikan applied networking dan pitching skills yang dikendalikan oleh Dr. Muhamad Ali Imran Kamarudin dari Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan (SBM), manakala aspek pengkosan produk serta pengurusan kewangan pula dibimbing oleh Dr. Mohd Fodli Hamzah dari Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB).

Latihan dan bimbingan industri pula dikendalikan oleh mentor industri daripada Haji Zainol Food Industries Sdn Bhd iaitu Noazarien Ahmad dan pasukan latihannya. Peserta didedahkan berkaitan amalan perniagaan sebenar dalam ekosistem industri telah membuka mata peserta bahawa setiap produk dan perniagaan mereka bukan hanya sekadar suka-suka malah berpotensi untuk bersaing dan menembusi pasaran global.

Usahawan perlu bijak menggunakan ruang dan peluang, cepat mengadaptasi teknologi yang pesat berkembang serta mengoptimumkan sumber yang ada dengan meminimumkan kos untuk memastikan kelangsungan dan daya saing dalam pasaran global.

Selain itu, kemahiran penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam pemasaran produk juga diberi penekanan di mana ia mampu membantu usahawan dalam automasi pemasaran, personalisasi pengalaman pelanggan dan pengurusan kewangan yang lebih efisien.

Wakil peserta, Siti Nor Bahyah yang mengusahakan perniagaan bakso dan soto di dalam kampus UUM berkata, program ini telah memberinya peluang untuk menilai semula BMC perniagaan dan mendapatkan bimbingan yang lebih mendalam dari mentor berpengalaman.

“Saya juga sangat teruja dengan peluang untuk menggunakan AI dalam pemasaran produk yang memberikan saya nilai tambah dalam mengembangkan perniagaan saya dengan lebih efisien pada masa hadapan,” katanya.

Program ini turut memberi peluang kepada peserta untuk membentangkan idea perniagaan mereka sebagai persediaan untuk ke Fasa 4: Growth di mana penekanan akan diberikan kepada strategi pertumbuhan jangka panjang, penskalaan perniagaan dan akses kepada pasaran serta peluang pembiayaan. Dalam fasa ini, para peserta akan dibawa ke sesi pitching sebenar yang akan dipanelkan oleh pemain industri dan agensi-agensi terpilih.

CEDI UUM beriltizam untuk terus menyokong pembangunan ekosistem keusahawanan yang mampan dan berimpak tinggi selaras dengan aspirasi negara untuk melahirkan graduan holistik bercirikan keusahawanan serta bersedia menyumbang dalam ekonomi digital dan global. – Syariza Hani Ariffin

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button