Program Rawatan dan Pemulihan dalam Komuniti Model I-Pulih perkasa jati diri klien
Gambar Mohd Firdaus Ismail
KUBANG PASU, 7 Mei 2025: Seramai 60 peserta yang terdiri daripada klien yang menjalani Perintah Pengawasan di bawah Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 dan ahli keluarga telah menghadiri Program Rawatan dan Pemulihan dalam Komuniti Model I-Pulih yang berlangsung di Pejabat Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Kubang Pasu, baru-baru ini.
Program ini merupakan anjuran AADK Daerah Kubang Pasu dengan kerjasama Pusat Pengajian Undang-Undang (SoL), Universiti Utara Malaysia (UUM), Pertubuhan Kriminologi dan Koreksional Malaysia (MCCA) serta Jawatankuasa Pemulihan Daerah (JKPD) Kubang Pasu.
Pengarah program, Prof. Madya Dr. Yusramizza Md Isa @ Yusuff berkata, program ini bertujuan mempertingkat pengurusan emosi dan kaunseling serta pematuhan undang-undang dalam kalangan klien AADK.
Selain itu, menurutnya, ia bermatlamat untuk memangkin peranan dan sokongan masyarakat terutama ahli keluarga dalam merealisasikan proses pemulihan penagihan dadah dalam negara.
Program ini dimulakan dengan sesi taklimat yang disampaikan oleh Pegawai Pemulihan AADK Daerah Kubang Pasu. Taklimat tersebut adalah berkisar tentang pelaksanaan Model I-Pulih yang menekankan intervensi secara menyeluruh di peringkat komuniti, dengan penglibatan aktif keluarga dan komuniti setempat.
Sesi kedua pula diteruskan dengan siri ceramah serta bimbingan oleh pensyarah termasuk daripada Jawatankuasa Jaringan Industri dan Komuniti, SoL. Sesi ini bertemakan kekeluargaan yang memberi fokus kepada peranan institusi keluarga dalam menyokong proses pemulihan dan membina semula jati diri individu yang terlibat dengan penagihan dadah.
Ceramah ini turut memberi penekanan terhadap kepentingan komunikasi berkesan, sokongan emosi serta pendekatan pemulihan berasaskan kasih sayang dan penerimaan.
Program seumpama ini diharap dapat memperkukuh jaringan sokongan sosial di peringkat akar umbi dan menjadi platform bagi meningkatkan kesedaran serta keterlibatan komuniti dalam usaha memacu kedaulatan undang-undang dan pencegahan serta pemulihan penagihan dadah di tanah air. – Prof. Madya Dr. Yusramizza Md Isa @ Yusuff