General

Projek Rasa Padang Terap: Inovasi masakan warisan cetus identiti ekonomi baharu komuniti

Gambar dan berita Dr. Rosfaraliza Azura Ramli

PADANG ETRAP, 20 Februari 2025: Projek Rasa Padang Terap: Inovasi Masakan membuktikan keupayaannya sebagai satu inisiatif pembangunan komuniti yang memberi impak besar kepada ekonomi setempat menerusi penghasilan produk Gulai Daging Rias Pisang.

Projek ini yang dijayakan melalui Skim Geran Inovasi Sosial, Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan kerjasama penyelidik dari Pusat Pengajian Kerajaan (SOG) dan Pusat Pengajian Pengurusan Pelancongan, Hospitaliti dan Acara (STHEM) bukan sekadar bertujuan meningkatkan pendapatan komuniti, tetapi juga membentuk identiti ekonomi baharu bagi peserta terlibat.

Ketua Penyelidik Projek, Dr. Adi Syahid Mohd Ali berkata, kejayaan projek ini membuktikan bahawa komuniti boleh membangun dengan menggunakan modal/aset sedia ada secara strategik.

“Peserta projek ini, yang sebelum ini dikenali sebagai tukang masak kenduri di kampung mereka, kini beralih kepada satu identiti ekonomi baharu sebagai pengusaha makanan warisan komersial.

“Dengan kepakaran memasak yang mereka miliki, mereka bukan sahaja menghasilkan makanan untuk majlis, tetapi juga mampu menghasilkan produk makanan yang boleh dipasarkan secara meluas,” katanya.

Transformasi ini bukan hanya mengangkat kemahiran memasak ke tahap yang lebih tinggi, tetapi juga membuka peluang ekonomi baharu bagi komuniti. Melalui projek ini, komuniti bukan sekadar mengekalkan kepakaran warisan memasak kenduri, tetapi turut mengembangkan kemahiran dalam pemprosesan makanan secara komersial, pengurusan perniagaan, dan kawalan kualiti produk.

Dengan adanya bengkel pengeluaran makanan warisan yang dilengkapi teknologi retort, mereka kini dapat menghasilkan produk yang tahan lebih lama dan memenuhi standard industri moden.

Selain itu, komuniti juga sedang dalam proses mendapatkan sijil MESTI dan halal, yang akan memperkukuhkan lagi jenama mereka di pasaran.

Kerjasama antara SOG dan STHEM turut memastikan peserta mendapat latihan dalam pengurusan ekonomi komuniti, pemasaran produk makanan, dan pembangunan daya saing dalam industri makanan warisan.

Projek ini membuktikan bahawa pembangunan komuniti bukan hanya tentang pemerkasaan ekonomi tetapi juga transformasi peranan dan identiti dalam masyarakat.

Dengan Gulai Daging Rias Pisang sebagai produk sulung mereka, komuniti Padang Terap kini bersedia untuk memperkukuhkan lagi peranan mereka sebagai usahawan makanan warisan yang mampu bersaing di peringkat lebih tinggi.

Kejayaan ini diharapkan menjadi pencetus kepada lebih banyak inisiatif pembangunan komuniti yang berasaskan inovasi dan pengukuhan sumber tempatan, sekaligus membawa komuniti luar bandar ke arah pembangunan yang lebih lestari dan berdaya saing.

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button