Sambut tahun baharu dengan doa, UUM anjur solat hajat perdana
Gambar oleh Muhammad Shamsul Shafie
SINTOK, 1 Januari 2026: Universiti Utara Malaysia (UUM) menganjurkan Majlis Bacaan Yasin dan Solat Hajat Perdana Sempena Ambang Tahun Baharu dan Peperiksaan Akhir Semester A251 bertempat di Masjid Sultan Badlishah, semalam, sebagai usaha memperkukuh pengisian kerohanian warga kampus.
Majlis yang dianjurkan oleh Pusat Islam UUM itu menghimpunkan barisan pengurusan universiti, kepimpinan pelajar serta warga kampus bagi memohon keberkatan, ketenangan jiwa dan pertolongan daripada Allah SWT menjelang peperiksaan akhir yang bakal berlangsung.

Naib Canselor UUM, Profesor Dr. Ahmad Martadha Mohamed dalam ucapannya menegaskan kepentingan menjaga keseimbangan antara kecemerlangan akademik dan pembangunan rohani, khususnya dalam kalangan mahasiswa.
Beliau berkata, peperiksaan akhir bukan sahaja menguji kefahaman ilmu, malah menjadi medan pembentukan integriti, sahsiah dan akhlak pelajar.
Menurut beliau, majlis seumpama ini berperanan sebagai platform untuk mendekatkan warga universiti kepada Allah SWT di samping memohon keberkatan agar tahun baharu yang bakal tiba membawa kebaikan dan kemajuan kepada universiti.

Dalam pada itu, Pengarah Program, Sharifah Nur Irdina Syed Abdul Halim berkata, penganjuran program tersebut merupakan salah satu inisiatif UUM dalam menyambut kedatangan tahun baharu 2026 dengan pengisian kerohanian yang bermakna.
Menurutnya, program ini bertujuan memberikan ketenangan hati serta menjadi wadah untuk memohon pertolongan dan keberkatan daripada Allah SWT kepada para pelajar yang bakal menghadapi peperiksaan akhir tidak lama lagi.

Beliau turut berharap agar penganjuran program seumpama ini dapat menyemai budaya berdoa dan bertawakal dalam kalangan pelajar sebagai pelengkap kepada usaha serta persediaan akademik yang telah dilakukan.
Majlis turut diserikan dengan bacaan Yasin, solat hajat serta pengisian rohani yang melibatkan penyertaan aktif warga kampus sebagai simbol kesepaduan dan kebersamaan dalam memohon kesejahteraan serta kejayaan bersama.



