SCIMPA dan Inasis Bank Rakyat perkasa sinergi kreatif bersama Universitas Islam Indonesia di Bangkok
Gambar dan berita Fatin Nurashikin Ridzuan dan Dr. Syamsul Hirdi Muhid
BANGKOK, 2 September 2025: Gabungan antara Pusat Pengajian Pengurusan Industri Kreatif dan Seni Persembahan (SCIMPA) dan Inapan Siswa (Inasis) Bank Rakyat Universiti Utara Malaysia (UUM) serta Universitas Islam Indonesia (UII) telah melakar sejarah tersendiri apabila delegasi pelajar dan staf kedua-dua institusi berganding bahu membawa semangat kolaboratif ke pentas antarabangsa, menjadikan Bangkok sebagai pentas utama untuk meneroka inovasi, kreativi dan budaya.
Suasana penuh semangat terpancar sejak sambutan hangat di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, memperlihatkan komitmen dan perpaduan seramai 10 pelajar, enam staf UII serta 16 pelajar dan tiga staf UUM yang menandakan permulaan kepada satu sinergi transnasional yang mampu mengubah landskap mobiliti akademik dan budaya.
Di Kedah, peserta dari UUM (wakil SCIMPA dan Inasis Bank Rakyat) dan UII telah mengikuti bengkel Street Photography bersama Kelab Kamera Kedah di Balai Seni dan Art Street Alor Setar.
Pegawai Pengiring yang juga Pengurus Unit Seni Kreatif dan Pengurusan Acara, Dr. Adzira Husain berkata, aktiviti ini menjadi titik pertemuan untuk bertukar kepakaran dan pengalaman seni fotografi, memperkaya pemahaman tentang ekspresi seni tempatan serta memperkukuh kolaborasi kreatif antara kedua-dua universiti.
Seterusnya, delegasi bersama-sama menaiki tren ke Bangkok dan disambut meriah pelajar Suan Dusit University (SDU). Delegasi UUM (SCIMPA dan Inasis Bank Rakyat) serta UII terlibat dalam syarahan “Creative Communities in Thailand” dan aktiviti kebudayaan, di mana mereka bersama-sama meneroka inovasi komuniti kreatif Thailand, berkongsi idea baharu dan membina jaringan antarabangsa yang membanggakan.
Di Chiang Mai, sinergi antara SCIMPA-Inasis Bank Rakyat UUM dan UII diteruskan melalui sesi perkongsian akademik di Chiang Mai Rajabhat University (CMRU), lawatan ke Baan Kang Wat serta Jing Jai Market.
Peserta berkolaborasi dalam menghasilkan video, foto dan penulisan yang mengangkat hasil seni inovatif serta kreativiti masyarakat Chiang Mai, menonjolkan peranan kerjasama institusi dalam pembangunan potensi pelajar di arena antarabangsa.
Program diakhiri dengan eksplorasi ekonomi kreatif di MBK, Bangkok sebelum delegasi kembali pulang ke Malaysia. Sepanjang mobiliti tidak berkredit ini, penglibatan aktif SCIMPA dan Inasis Bank Rakyat bersama UII berjaya memperkukuh nilai sinergi serta kesatuan, memperluaskan jaringan dan mempertingkat kreativiti serta pengalaman antarabangsa buat setiap peserta.