General

Sejarah baharu: 9 pasangan kembar mendaftar sebagai pelajar UUM

Gambar oleh Mohd Fuad Hamid

SINTOK, 23 September 2025: Universiti Utara Malaysia (UUM) terus menjadi destinasi pilihan pelajar apabila bukan satu, tetapi sembilan pasangan kembar berjaya menempatkan diri sebagai mahasiswa baharu sempena Minggu Suai Kenal Pelajar Baharu A251 (Sesi 2025/2026) yang sedang berlangsung di kampus ini.

Sembilan pasangan kembar tersebut ialah Nurul Aimi Nadiah Hamzah dan Nurul Aimi Nadhirah Hamzah, Nur Fathihah Fadzil dan Nur Fitriyah Fadzil, Nur Syazwana Aswami dan Nur Syazana Aswawi, Arief Abdullah Rosli dan Aziem Abdullah Rosli, Marlina Taha dan Baharudin Taha, Cham Jia Pei dan Cham Jia En, Vinnushah Arasu dan Vishal Arasu, Nadiah Nadirah Amir Hassan dan Lia Malisa Amir Hasan dan Ooi Ching Qi dan Ooi Ching Mei yang masing-masing bersemangat memulakan pengajian di peringkat ijazah sarjana muda dengan tekad meraih kecemerlangan akademik.

Pasangan kembar, Nurul Aimi Nadiah Hamzah dan Nurul Aimi Nadhirah Hamzah, diterima masuk ke UUM untuk melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda. Nurul Aimi Nadiah mengikuti program Sarjana Muda Pentadbiran Muamalat dengan Kepujian, manakala adiknya, Nurul Aimi Nadhirah pula memilih bidang Sarjana Muda Sains Pengurusan Perniagaan Tani dengan Kepujian.

“Kami sangat teruja dan bersyukur kerana dapat menjejakkan kaki ke UUM. Universiti ini memang menjadi pilihan pertama kami sejak awal lagi. Kejayaan abang dan kakak menjadi penguat semangat kami untuk terus berusaha dan berjaya,” kata mereka penuh tekad.

Sementara itu, pasangan kembar seiras, Nur Fathihah bt Fadzil dan Nur Fitriyah bt Fadzil, turut melangkah penuh yakin ke UUM apabila berjaya melanjutkan pengajian masing-masing ke peringkat ijazah. Nur Fathihah mengikuti program Ijazah Sarjana Muda Perakaunan (Sistem Maklumat) dengan Kepujian, manakala adiknya, Nur Fitriyah pula memilih program Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dengan Kepujian.

Berbekalkan cita-cita untuk menjadi akauntan bertauliah suatu hari nanti, mereka yang berasal dari Kedah itu menyifatkan peluang menyambung pengajian selepas menamatkan Diploma sebagai satu langkah besar dalam merealisasikan impian.

“Kami berasa sangat teruja kerana UUM merupakan pilihan pertama kami,” kata Nur Fathihah.

“Saya percaya, dengan adanya kakak di sisi, saya lebih bersemangat untuk belajar dan bersaing secara sihat. Kami mahu buktikan bahawa kembar juga boleh melakar kecemerlangan bersama,” tambah Nur Fitriyah.

Turut berkongsi rasa teruja ialah pasangan kembar, Nur Syazwana Aswami dan Nur Syazana Aswawi, yang mengikuti pengajian dalam bidang Sarjana Muda Pengurusan Hal Ehwal Antarabangsa dengan Kepujian.

Mereka berdua mengakui berasa bersemangat untuk meneruskan pengajian di UUM dan yakin pengalaman sepanjang tempoh pengajian bakal mematangkan diri serta membuka ruang luas dalam bidang kerjaya kelak.

Ketiga-tiga pasangan kembar ini percaya, dengan keazaman serta doa keluarga, mereka mampu membuktikan bahawa impian untuk berjaya dalam pengajian bukanlah sesuatu yang mustahil, apatah lagi dengan sokongan serta suasana positif sepanjang Minggu Suai Kenal Pelajar Baharu A251 yang menjadi titik permulaan perjalanan mereka di UUM.

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button