General

Sekolah Pendidikan Islam, Pusat Islam UUM mulakan hari pertama persekolahan dengan penuh semangat

Gambar  oleh Sharif Abdussalam Sharif Saad

SINTOK, 11 Januari 2026: Hari pertama persekolahan di Sekolah Pendidikan Islam (SPI) yang dikendalikan oleh Pusat Islam Universiti Utara Malaysia (UUM) bermula dengan suasana ceria dan penuh keterujaan apabila seramai 145 orang pelajar hadir mengikuti Kelas KAFA bagi sesi persekolahan 2026.

Walaupun hanya mempunyai enam buah ruang kelas yang selesa dan kondusif, SPI terus menjadi pilihan utama dalam kalangan kakitangan universiti serta masyarakat luar yang berhajat mendapatkan pendidikan Islam berkualiti untuk anak-anak mereka.

Keadaan ini secara tidak langsung memperlihatkan permintaan yang tinggi terhadap penawaran pendidikan Islam di bawah seliaan Pusat Islam UUM.

 

Pelajar yang mengikuti Kelas KAFA terdiri daripada murid Tahun 1 hingga Tahun 6.

Sebagai nilai tambah kepada sistem pendidikan sedia ada, Pusat Islam UUM turut mengambil inisiatif menyediakan Kelas Bimbingan al-Qur’an (KBA) bagi memperkukuh penguasaan al-Qur’an dalam kalangan pelajar.

Kelas Bimbingan al-Qur’an (KBA) melibatkan dua kategori, iaitu kanak-kanak berusia lima hingga enam tahun seramai 24 orang, serta pelajar Tahun 1 hingga Tahun 6 seramai 80 orang yang mengikuti kelas pada setiap hari Rabu dan Khamis.

Ketua Guru SPI, Ustazah Sharifah Noreha, menyatakan rasa syukur dan gembira melihat keceriaan pelajar pada hari pertama persekolahan, sekali gus mencerminkan semangat positif dalam memulakan sesi pembelajaran baharu.

Sementara itu, Pengarah Pusat Islam, Ustaz Hj. Mohd Yusnaidi Md. Sabri berharap agar usaha berterusan Pusat Islam UUM dalam menyediakan pendidikan Islam yang holistik dapat melahirkan generasi pelajar yang seimbang dari segi ilmu, akhlak dan penghayatan al-Qur’an. – Nor Azlinah Zaini

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button