General

SOC teroka potensi Kubang Pasu sebagai bandar pintar

Gambar SOC

KUBANG PASU, 9 Mac 2025: Pusat Pengajian Pengkomputeran (SOC) telah mengadakan lawatan rasmi ke Majlis Perbandaran Kubang Pasu (MPKP) bagi membincangkan kerjasama strategik dalam merealisasikan konsep bandar pintar di daerah ini.

Lawatan ini diketuai oleh Pengerusi Jawatankuasa Jaringan Industri & Komuniti SOC, Prof. Dr. Huda Ibrahim bersama Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, Prof. Madya Dr. Husniza Husni; Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof. Madya Dr. Mohamad Fadli Zolkipli serta Pengerusi CoPED, Mohd. Rushdi Idrus.

Delegasi telah disambut mesra oleh Yang Dipertua MPKP, Badrulhisham Sulaiman bersama pegawai-pegawai MPKP yang turut serta dalam sesi perbincangan.

Dr. Huda berkata, lawatan ini bertujuan untuk memperkukuhkan kerjasama antara institusi akademik dan pihak berkuasa tempatan dalam membangunkan inisiatif bandar pintar yang mampan dan inovatif.

Menurutnya, dalam perbincangan tersebut, pelbagai aspek telah dibincangkan termasuk penggunaan teknologi digital, infrastruktur pintar, serta penglibatan komuniti dalam menjayakan projek ini.

Pihak MPKP menyambut baik cadangan kerjasama ini dan berharap agar inisiatif tersebut dapat dilaksanakan dengan jayanya demi manfaat masyarakat Kubang Pasu.

Lawatan ini juga menandakan permulaan kepada lebih banyak kerjasama erat dalam usaha mentransformasikan daerah ini menjadi sebuah bandar pintar yang moden dan efisien.

Sementara itu, Badrulhisham berkata, pihaknya amat mengalu-alukan kerjasama ini kerana ia akan membawa banyak manfaat kepada masyarakat setempat.

“Dengan adanya teknologi pintar dan inovasi baharu, Kubang Pasu berpotensi menjadi sebuah bandar yang lebih maju dan mesra rakyat,” katanya.

Dengan adanya gabungan kepakaran akademik dan sokongan pihak berkuasa tempatan, diharapkan projek bandar pintar di Kubang Pasu dapat direalisasikan dengan berkesan demi kesejahteraan dan kemajuan masyarakat setempat. – Prof. Madya Dr. Husniza Husni

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button