SOE UUM perkukuh jalinan strategik pendidikan bersama JPN Kedah
Berita dan gambar oleh Muhd Zulhilmi Haron
ALOR SETAR, 3 Disember 2025 – Pusat Pengajian Pendidikan (SOE), Universiti Utara Malaysia (UUM) terus memperkukuh jalinan strategik dalam sektor pendidikan apabila delegasinya mengadakan kunjungan hormat ke Pejabat Pengarah, Jabatan Pendidikan Negeri Kedah (JPN Kedah).
Delegasi diketuai oleh Prof. Madya Dr. Mohamad Khairi Haji Othman, Dekan SOE UUM, bersama beberapa penjawat akademik SOE hadir bagi meneroka ruang kolaborasi baharu yang berpotensi memberi impak langsung kepada pembangunan pendidikan negeri.

Perbincangan memfokuskan usaha memperkukuh kerjasama dua hala antara SOE dan JPN Kedah dalam memperkasa kompetensi warga pendidik serta memantapkan ekosistem kepimpinan sekolah.
Dalam sesi tersebut, SOE turut mengetengahkan inisiatif untuk menggalakkan lebih ramai pengetua dan guru besar melanjutkan pengajian dalam program Sarjana Sains Kepengetuaan, sejajar dengan keperluan peningkatan profesionalisme kepimpinan pendidikan negara.
Selain itu, SOE turut mempromosikan program Sarjana Pendidikan kepada para guru di sekolah-sekolah di bawah JPN Kedah sebagai salah satu laluan pembangunan profesional yang signifikan.

Program ini dirangka bagi membantu guru meningkatkan kemahiran pedagogi, penguasaan kurikulum, serta kecekapan dalam inovasi pengajaran selaras dengan tuntutan pendidikan abad ke-21.
Langkah ini diyakini dapat memperkukuh kapasiti guru di bilik darjah dan seterusnya menyumbang kepada peningkatan kualiti pendidikan negeri Kedah secara komprehensif.
Perbincangan turut memperincikan tawaran program yang dicadangkan pihak SOE bagi memperkasa pembangunan profesionalisme guru-guru cemerlang dalam bidang Sains dan Matematik di negeri Kedah.
Inisiatif ini dijangka menjadi pemangkin kepada pelaksanaan modul latihan berimpak tinggi serta bimbingan berstruktur yang merangkumi pedagogi kontemporari, psikologi pendidikan, inovasi kurikulum, elemen pendigitalan dan pentaksiran bilik darjah sekali gus menyokong agenda peningkatan kualiti pengajaran STEM di peringkat negeri.

Selain itu, kedua-dua pihak turut mengenal pasti potensi kolaborasi geran penyelidikan bagi menangani isu-isu semasa pendidikan di negeri Kedah. Kerjasama ini dijangka membuka ruang penyelidikan yang lebih terarah, berimpak tinggi dan berasaskan keperluan lapangan.
Menurut Prof. Madya Dr. Mohamad Khairi, “Kerjasama dengan JPN Kedah ini membuka ruang strategik untuk SOE UUM memperkukuh ekosistem kepimpinan pendidikan di negeri ini. Dengan kepakaran yang kami miliki, kami komited melahirkan barisan pemimpin sekolah yang lebih berwawasan, berkemahiran tinggi dan bersedia menghadapi cabaran pendidikan masa kini.”
Kunjungan ini mencerminkan komitmen SOE UUM untuk terus memainkan peranan sebagai rakan strategik kepada agensi pendidikan negeri dalam memperkukuh kualiti kepimpinan, pedagogi dan pembangunan profesional guru. Perbincangan diakhiri dengan persetujuan untuk merangka pelan tindakan susulan ke arah merealisasikan inisiatif yang telah dikenal pasti.



