General

Staf SCIMPA rangkul naib johan Pertandingan Sayembara Deklamasi Puisi Peringkat Negeri

Gambar Angkatan Sasterawan Nasional Kedah

SUNGAI PETANI, 3 Ogos 2025: Selepas dua tahun merehatkan diri dari pentas seni, staf Pusat Pengajian Pengurusan Induistri Kreatif dan Seni Persembahan (SCIMPA) iaitu M Shahadat Ali Nordin kembali dengan semangat baharu dan terus mencipta sejarah buat julung kali di pentas puisi negeri Kedah.

M Shahadat berjaya merangkul gelaran naib johan Pertandingan Sayembara Deklamasi Puisi Sempena Hari Puisi Nasional Peringkat Negeri Kedah yang berlangsung di Dewan Seri Kayangan, PPD Kuala Muda.

Anak muda itu telah mengetepikan saingan seramai 50 peserta yang menampilkan puisi masing-masing dan menggegarkan dewan dengan persembahan puitis yang sarat emosi penuh bermakna, seterusnya menang dengan penuh bergaya.

Dengan tajuk puisi “Rumah Ini Rumah Kita” karya Mohd Khatim Othman itu disampaikan bukan sahaja memukau juri, malah menyentuh hati penonton yang hadir. Kemenangan ini bukan sekadar tentang trofi tetapi ia tentang kebangkitan semula, semangat yang tidak pernah padam, dan cinta mendalam terhadap seni bahasa.

Apa yang lebih membanggakan, pencapaian ini hadir selepas dua tahun M Shahadat mengambil langkah ke belakang, bukan kerana putus asa, tetapi untuk memberi ruang menyemai ilham dan memperkasa diri.

Ternyata, rehat itu bukan satu kekalahan. Ia adalah strategi. Dan kini, dia kembali dengan lebih kuat, lebih padu, dan lebih bersedia.

M Shahadat berkata, dia menzahirkan puisi pada kali ini bukan sekadar untuk bertanding, tetapi untuk menyampaikan rasa, cinta terhadap negara, semangat dan memahami puisi yang sebenar, malah pada hari tersebut, rasa itu telah sampai ke hati ramai orang.

“Terima kasih kepada semua yang sentiasa menyokong perjalanan seni saya dan terima kasih kepada ibu bapa serta warga kerja SCIMPA yang sentiasa positif dalam setiap langkah saya.

“Ini bukan noktah dalam perjuangan sebagai anak sen, sebaliknya ini cuma koma dalam cerita yang lebih panjang,” katanya.

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button