General

Sultan Kedah, Canselor UUM perkenan mencemar duli hadir ke Majlis Konvokesyen Ke-38 UUM

Gambar Muhammad Shamsul Shafie

ALOR SETAR, 21 Oktober 2025: Sultan Kedah, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah, Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM) telah perkenan terima menghadap Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan di Wisma Darul Aman, hari ini.

Pada sesi menghadap itu, Dr. Mohd Foad menyembah maklum kepada Tuanku Canselor tentang Majlis Konvokesyen UUM Ke-38 dan kemasukan pelajar baharu Sesi 2025/2026 di UUM.

Majlis Konvokesyen Ke-38 akan berlangsung pada 9 hingga 13 November depan membabitkan graduan melebihi 6,000 pelajar Ijazah Doktor Falsafah (PhD), Sarjana dan Sarjana Muda.

Selain itu, Naib Canselor turut memaklumkan tentang penerima Ijazah Kehormat Kedoktoran kepada individu yang telah memberikan sumbangan terhadap kemajuan atau penyebaran pengetahuan atau yang telah berbuat jasa cemerlang kepada awam.

Seterusnya, beliau menyembah maklum sehingga 16 Oktober 2025, UUM telah menerima kemasukkan 4,781 pelajar baharu yang terdiri daripada pelajar tempatan dan antarabangsa akan mengikuti 47 program pengajian Sarjana Muda bagi sesi 2025/2026.

Keseluruhan kemasukan pelajar tempatan ke UUM bagi Sarjana Muda ialah 24,106 pelajar dan pascasiswazah ialah 4,150 pelajar.

Turut hadir majlis menghadap ialah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Pof. Dr. Ram Al Jaffri Saad.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button