Syarahan Profesor Adjung IBS kupas peranan kewangan sosial islam dalam agenda ESG
Gambar oleh Muhammad Shamsul Shafie
SINTOK, 21 Disember 2025: Kewangan Sosial Islam berpotensi menjadi pemacu utama keadilan sosial serta pembangunan mampan sekiranya dilaksanakan secara strategik dan selari dengan agenda Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG), kata Profesor Datuk Ahmad Hizzad Baharuddin.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Syarahan Profesor Adjung bertajuk “Islamic Social Finance and the ESG Agenda: Pathway to Sustainable Development” anjuran Universiti Utara Malaysia (UUM) menerusi Islamic Business School (IBS) di Dewan Seminar B, Kompleks Konvensyen UUM, hari ini.

Beliau menegaskan kepentingan memahami peranan institusi perbankan sebagai perantara kewangan antara pendeposit dan pihak penerima pembiayaan, serta keperluan menyalurkan pembiayaan secara berhemah bagi memastikan kelestarian sistem kewangan.
Selain itu, beliau turut menyentuh peranan institusi penyelidikan Syariah seperti International Shari’ah Research Academy for Islamic Finance (ISHRAF) dalam memperkukuh pelaksanaan kewangan sosial Islam yang selari dengan agenda ESG melalui penyelidikan berasaskan Maqasid Syariah.
Menurut beliau, ISHRAF menyediakan kerangka penyelidikan dan panduan yang menekankan keadilan sosial, tadbir urus beretika dan kemampanan, khususnya melalui pembangunan instrumen kewangan sosial Islam seperti zakat, wakaf dan pembiayaan kebajikan.

“Cabaran utama dalam pelaksanaan Kewangan Sosial Islam (Islamic Social Finance, ISF) ialah isu moral hazard yang boleh menjejaskan matlamat sebenar bantuan sosial,” katanya.
Beliau berkata bantuan kewangan sosial seharusnya berfungsi sebagai pemangkin kepada peningkatan taraf hidup melalui pendidikan, peluang pekerjaan dan pembangunan keupayaan, bukannya mewujudkan kebergantungan berpanjangan.
“Ada kajian yang menunjukkan wujud kecenderungan segelintir pihak untuk kekal dalam kemiskinan kerana mengharapkan bantuan zakat dan sedekah secara berterusan.

Lebih membimbangkan, kemiskinan dikomersialkan apabila ada yang memilih untuk terus berada dalam kategori asnaf semata-mata untuk menerima bantuan,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa pendekatan sedemikian bercanggah dengan prinsip sebenar kewangan sosial Islam yang bertujuan memperkasa, bukan mengekalkan kemiskinan.

“Kita tidak sepatutnya menjadikan status asnaf sebagai matlamat. Sebaliknya, objektif ISF adalah untuk mengeluarkan individu daripada kemiskinan dan membina keupayaan mereka agar berdikari serta menyumbang kembali kepada masyarakat,” jelas beliau.
Program syarahan ini sekali gus mengukuhkan peranan UUM sebagai Universiti Pengurusan Terkemuka dalam memacu perbincangan ilmiah berimpak tinggi serta menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat melalui pendekatan kewangan Islam yang holistik.
Turut hadir ialah Dekan IBS, Profesor Dr. Selamah Maamor, warga staf serta para pelajar UUM.



