General

Tan Sri Azman terima Ijazah Kehormat Doktor Falsafah seru kepemimpinan berteraskan nilai dan kebijaksanaan

Gambar Hairul Nizam Zahari

SINTOK, 9 November 2025: Penerima Anugerah Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Pengurusan Perniagaan Islam), Tan Sri (Dr.) Azman Mokhtar menyifatkan pengiktirafan yang diterima bukan sekadar penghormatan peribadi, tetapi satu amanah besar untuk terus berbakti kepada agama, bangsa dan negara.

Menurutnya, sepanjang perjalanan sama ada ketika diamanahkan untuk menerajui Khazanah Nasional Berhad, MIFC (Malaysian International Islamic Finance Centre) Leadership Council, Lembaga Tabung Haji, mahupun kini sebagai Pengerusi INCEIF University, beliau belajar bahawa ilmu mesti digandingkan dengan kebijaksanaan, dan setiap keputusan mesti berpaksikan nilai-nilai murni.

“Keberanian berfikir tidak harus mengorbankan prinsip, sebaliknya mengukuhkan asas amanah dan tanggungjawab. Masyarakat memerlukan kepemimpinan yang bukan sahaja berfikir dan mengurus secara strategik, dan yang lebih penting adalah berjiwa besar yang mampu melihat hubungan dan mengaitkan antara bidang kewangan dan ekonomi, pengurusan dan kemanusiaan, antara keuntungan dan keberkatan.

“Dalam memperkukuhkan ekosistem pendidikan Pengurusan Islam dan kelestarian ilmu, saya amat tertarik dengan inisiatif-inisiatif di Universiti Utara Malaysia (UUM) khususnya di Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS) juga Pusat Zakat dan Wakaf (PZW) dan Institut Penyelidikan dan Inovasi Zakat (IPIZ),” kata Pengerusi INCEIF University itu pada sesi pertama Majlis Konvokesyen Ke-38 UUM di Dewan Mu’adzam Shah, hari ini.

Dr. Azman berkata, program-program dan inisiatif-inisiatif yang dijalankan itu bukan sahaja memperluaskan potensi ekonomi ummah, tetapi dapat menjadi suatu contoh, iktibar kepada institusi-institusi lain dalam menjadikan nilai dan instrumen ekonomi Islam sebagai tunjang kemajuan yang inklusif dan mampan.

Beliau menerima Ijazah Kehormat Doktor Falsafah yang disampaikan Canselor, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah, Tuanku Sultan Kedah.

Memperoleh Ijazah Sarjana dalam Pengajian Pembangunan dari Darwin College, Universiti Cambridge sebagai Sarjana Chevening serta Diploma dalam Pengajian Islam dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Dilahirkan di Melaka pada 1961, Dr. Azman merupakan anak kepada pasangan guru. Berkahwin dengan Mastura Abdul Rahman dan dikurniakan lima orang anak.

Turut berangkat mencemar duli ialah Pro-Canselor, Duli Yang Teramat Mulia Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin, Raja Muda Kedah dan Pro-Canselor, Duli Yang Amat Mulia Tunku Shazuddin Ariff Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin, Tunku Mahkota Kedah.

Selain itu, Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan turut hadir di majlis tersebut.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button