General

Terap Raya 2025 perkukuh silaturahim dan iktiraf daya usaha desa

Gambar Dr. Adi Syahid Mohd Ali

KUALA NERANG, 28 April 2025: Universiti Utara Malaysia (UUM) meneruskan komitmennya terhadap pembangunan komuniti dan kelestarian sosial menerusi penganjuran Program TERAP RAYA 2025 yang berlangsung dengan penuh meriah di Sekolah Kebangsaan Kubang Palas, Kuala Nerang.

Program ini merupakan hasil kolaborasi erat antara Koperasi Ruminan Pertanian Kubang Palas Berhad, Sekolah Kebangsaan Kubang Palas, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Kubang Palas, Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM) Kedah, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Kubang Palas, Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) Zon 2, Padang Terap, serta Pusat Pengajian Kerajaan (SOG) dan Pusat Pengajian Pengurusan Pelancongan, Hospitaliti dan Acara (STHEM), UUM.

Lebih 700 orang komuniti dan pelajar hadir memeriahkan program yang menggabungkan semangat kerjasama, kesatuan, dan komitmen untuk membangunkan potensi desa secara mampan.

Majlis pelancaran telah disempurnakan oleh Pengerusi Yayasan Kemiskinan Darul Aman, Dato’ Seri Mahdzir Khalid. Turut memeriahkan program ialah Naib Canselor UUM, Prof. Dr. Mohd Foad Sakdan, serta Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed dan Pengarah Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM), Mohd. Akmaluddin Mudaribeni, yang bersama-sama menyantuni komuniti setempat.

Dr. Mohd Foad ketika berucap berkata, Program TERAP RAYA 2025 membuktikan aspirasi UUM dalam mendayaupayakan komuniti melalui pendekatan berasaskan inisiatif sosial, pengukuhan ekonomi setempat, dan pembangunan komuniti lestari, sejajar dengan matlamat membina Malaysia MADANI yang berdaya tahan, inklusif dan progresif.

Menurutnya, ianya mencerminkan sebuah pembangunan yang bertolak daripada potensi, digerakkan oleh institusi ilmu, diperkuat oleh agensi dan ditunjangi oleh kekuatan aset dan modal komuniti itu sendiri. Ia adalah satu perjalanan berterusan untuk membina ketahanan dan kesejahteraan desa.

Majlis yang bersempena sambutan Aidilfitri ini bertujuan memperkukuhkan silaturahim antara komuniti, agensi kerajaan, dan institusi pendidikan, sambil mengiktiraf daya usaha masyarakat desa dalam memajukan diri melalui pendekatan ekonomi dan sosial yang lestari.

Pelbagai aktiviti menarik diadakan sepanjang program termasuk gotong-royong, pameran keusahawanan dan program kenegaraan, mencerminkan keterangkuman sosial serta penghayatan nilai Malaysia MADANI.

Kemuncak acara menyaksikan pelancaran rasmi produk komuniti, “Gulai Daging Rias Pisang”, hasil Projek Social Innovation Grant Scheme (SIGS) yang diterajui oleh Dr. Adi Syahid Mohd Ali (SOG) bersama penyelidik Prof. Madya Dr. Zainal Md. Zan (SOG), Dr. Rosfaraliza Azura Ramli (SOG), Norhafizi Nordin (STHEM) dan Umme Umaimah Amin (STHEM).

Pelancaran ini menandakan langkah penting ke arah pengkomersialan produk warisan komuniti melalui pendekatan lestari dalam pembangunan sosial dan ekonomi luar bandar.

Produk ini menggambarkan bagaimana komuniti dapat mengolah sumber tempatan untuk merangsang peluang ekonomi, memperkukuh jaringan sosial, dan menjana pendapatan berasaskan kekuatan warisan budaya.

Dalam pembangunan komuniti, kegiatan ekonomi sebegini amat penting untuk mewujudkan peluang pekerjaan baharu, menggalakkan pelaburan dalaman, dan mengembangkan aktiviti perekonomian tempatan, seterusnya membina ketahanan desa yang mampan. – Dr. Rosfaraliza Azura Ramli

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button