General

Tokoh Siswa UUM dinobat, MPP Sesi 2023/2024 dihargai

Gambar Hairul Nizam Zahari

KUALA LUMPUR, 16 Jun 2025: Universiti Utara Malaysia (UUM) melalui Jabatan Hal Ehwal Pelajar telah menganjurkan Majlis Anugerah Tokoh Siswa dan Tautan Budi UUM bertempat di Premiera Hotel, Kuala Lumpur bagi meraikan kecemerlangan kepimpinan mahasiswa dan menghargai jasa Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) sesi 2023/2024.

Majlis telah dirasmikan oleh Pengarah Bahagian Hal Ehwal Pelajar merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Perkasa Siswa (YPS) yang mewakili Datuk Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Tinggi, Hirman Awang yang diiringi Naib Canselor UUM, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan.

Sebanyak 28 kategori anugerah telah dipertandingkan melibatkan pencalonan dalam kategori individu, pasukan dan program dari pelbagai pencapaian dan sumbangan mahasiswa dalam pelbagai bidang termasuk kepimpinan, kesukarelawanan, inovasi sosial dan pembangunan komuniti. Sebanyak 60 pencalonan diterima dan hanya 39 orang finalis berjaya ke peringkat akhir.

Majlis turut menyaksikan penganugerahan enam Anugerah Utama Biru Warna, yang menjadi pengiktirafan tertinggi kepada pelajar UUM yang menunjukkan kecemerlangan luar biasa serta memberi impak signifikan kepada pembangunan mahasiswa dan universiti.

Antara detik paling dinanti-nantikan adalah penganugerahan Anugerah Tokoh Siswa, iaitu anugerah tertinggi yang diberikan kepada mahasiswa yang menunjukkan kecemerlangan menyeluruh yang dimenangi Projeet Roy bagi kategori Lelaki, manakala Nur Nazirah Hisham dinobatkan sebagai Tokoh Siswa Perempuan.

Dalam masa yang sama, majlis ini turut menganjurkan Majlis Tautan Budi kepada Majlis Perwakilan Pelajar UUM sesi 2023/2024 bagi menghargai jasa bakti dan komitmen tinggi MPP dalam memperjuangkan kepentingan mahasiswa serta melaksanakan pelbagai inisiatif yang menyumbang kepada kesejahteraan warga kampus.

Majlis ini bukan sekadar satu bentuk penghargaan, malah menjadi manifestasi nilai luhur budaya bangsa yang berbudi dan mengenang jasa, serta mengukuhkan peranan mahasiswa sebagai agen perubahan dan penggerak komuniti.

Turut hadir, Ketua Pengarah MARA, Dato’ Zulfikri  Osman; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar Dan Alumni), Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed; barisan pengarah pusat tanggungjawab HEP, barisan Majlis Pengetua, alumni, penaja dan calon akhir kepada setiap anugerah yang dipertandingkan.

Semoga dengan penganjuran Majlis ATS ini dapat memberi galakan kepada para mahasiswa untuk terus menunjukkan prestasi yang cemerlang dalam menjulang nama UUM sebagai sebuah universiti katalis pembangunan bakat negara. – Muhammad Danial Khaleq Mohd Ali

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button