Tuanku Raja Muda Kedah perkenan terima menghadap Naib Canselor UUM
Gambar oleh Muhammad Shamsul Shafie
KUALA LUMPUR, 29 Oktober 2025: Duli Yang Teramat Mulia Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin, Tuanku Raja Muda Kedah merangkap Pro-Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), berkenan menerima menghadap Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan di Istana Darul Aman, Kuala Lumpur, hari ini.

Sesi menghadap tersebut bertujuan untuk menyembah maklum berkenaan Majlis Konvokesyen Ke-38 Universiti Utara Malaysia (UUM) serta kemasukan pelajar baharu Sesi Akademik 2025/2026.
Selain itu, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad turut menyembah maklum mengenai pengubahsuaian bilik VVIP dan keperluan penyenggaraan Padang Golf di Kelab Golf Sultan Sallehuddin, termasuk usaha mencari penajaan bagi pemain golf yang merupakan pelajar UUM.

Tuanku Pro-Canselor turut dimaklumkan tentang Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Universiti Utara Malaysia dan Management and Science University (MSU) yang kini dalam proses menentukan tarikh sesuai bagi pelaksanaannya.
Dalam sesi tersebut, Naib Canselor juga memohon perkenan Tuanku untuk sentiasa menzahirkan panduan dan nasihat bagi menambah baik fasiliti sukan go-kart di Universiti Utara Malaysia.
Hadir sama ialah Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Mohd Azizuddin Mohd Sani; Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Ram Al Jaffri Saad; dan Pendaftar UUM, Encik Ahmad Rasidi Abdullah.



