General

UKKM, SOG perkukuhkan jaringan strategik kepimpinan Madani bersama Parlimen, LKIM dan JKOM

Gambar Ihsan Parlimen Malaysia, J-KOM dan Dr. Nur Rusydina Khadzali

KUALA LUMPUR, 17 Julai 2025: Unit Kajian Kepimpinan Madani (UKKM), Pusat Pengajian Kerajaan (SOG), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah mengadakan siri kunjungan hormat dan perbincangan strategik ke beberapa institusi utama kerajaan seperti Parlimen, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) bagi memperkukuh jaringan kerjasama dalam bidang penyelidikan dan pembangunan kepimpinan Madani.

Delegasi UKKM diketuai Prof. Madya Dr. Malike Brahim, bersama felo penyelidik, Dzulhimni Ahmad Fawzi, Yusuf Pon, Dr. Nur Rusydina Khadzali dan Dr. Mariah Darus@Mat Junus memulakan lawatan ke atas Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul di Parlimen Malaysia.

Dalam pertemuan itu, Johari Abdul menekankan peranan penting akademia dalam membentuk kepimpinan masa hadapan negara dan beliau turut menyuarakan kebimbangan terhadap kekurangan pendidikan politik dalam kalangan belia dan berkongsi usaha mewujudkan Pilihan Raya Belia sebagai platform latihan demokrasi.

Dr. Malike pula mengutarakan isu pengasingan kaum dan agama dalam kalangan pelajar serta pentingnya perpaduan di universiti dan dipersetujui Yang di-Pertua Dewan Rakyat bahawa sistem pendidikan beraliran memberi kesan kepada solidariti nasional, justeru kepentingan program seperti PLKN turut dibincangkan.

Pada 8 Julai, lawatan diteruskan ke LKIM, Puchong, dengan pertemuan bersama Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan), Dr. Abdul Salim Tajudin. Perbincangan memfokuskan kepada peranan kepimpinan sektor agromakanan, khususnya dalam memperkukuh pembangunan usahawan nelayan, kelestarian rantaian bekalan makanan laut, serta peluang kerjasama penyelidikan berkaitan tadbir urus sektor perikanan, kemampanan komuniti pesisir dan keselamatan makanan negara. LKIM menyatakan kesediaan untuk menyokong UKKM dalam usaha penulisan ilmiah yang berkaitan dengan dasar dan pembangunan komuniti nelayan.

Pada 10 Julai, delegasi UKKM, SOG telah mengadakan pertemuan bersama Ketua Pengarah J-KOM, Dato’ Ismail Yusop, di Putrajaya. Dalam sesi ini, J-KOM telah menyatakan cadangan dan sokongan agar UKKM menjalankan penyelidikan Indeks Pengundi di selatan Kedah sebagai sebahagian usaha strategik kerajaan memahami sentimen dan kecenderungan politik semasa masyarakat luar bandar.

Penyelidikan ini dijangka akan membantu merangka pendekatan komunikasi dasar kerajaan yang lebih tepat dan efektif, khususnya dalam kawasan yang memerlukan tumpuan dari sudut penerimaan mesej dan penilaian kepercayaan rakyat terhadap kerajaan.

Rangkaian kunjungan ini diharapkan membuka ruang kerjasama penyelidikan, penulisan dasar dan perundingan ilmiah antara UKKM dan agensi-agensi kerajaan utama. Sokongan berterusan daripada Parlimen, LKIM dan J-KOM mencerminkan kepercayaan terhadap peranan akademia dalam memperkukuh ekosistem kepimpinan dan komunikasi dasar negara sejajar dengan aspirasi Malaysia Madani. – Dr. Nur Rusydina Khadzali

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button