General

Unit Bahasa Antarabangsa sumbang baju raya kepada 12 pelajar Maahad Tahfiz Ehsan Al-Khairi

Gambar Mohd Farid Md Yusoff

ALOR SETAR, 12 Mac 2025: Sempena bulan Ramadan yang penuh keberkatan, Unit Bahasa Antarabangsa (UBA), Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah (SLCP) telah menganjurkan program amal dengan kerjasama Jakel Alor Setar bagi membantu pelajar yang memerlukan, semalam.

Dalam program tersebut, seramai 12 pelajar Maahad Tahfiz Ehsan Al Khairi telah menerima sumbangan baju raya sebagai persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Guru Bahasa, Ahmad Laqis Nurun Ihsan berkata, program ini bertujuan meringankan beban pelajar serta keluarga mereka dalam membuat persiapan menjelang perayaan.

Sesuai dengan peribahasa “berat sama dipikul, ringan sama dijinjing”, inisiatif ini mencerminkan semangat kebersamaan dalam membantu golongan yang kurang berkemampuan.

Sementara itu, wakil pengurusan Jakel Alor Setar, Azhar Saad berkata, program ini merupakan sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat bagi membantu golongan yang memerlukan.

“Kami berasa amat bersyukur kerana dapat berkongsi kegembiraan dengan pelajar-pelajar ini. Diharapkan sumbangan ini dapat menceriakan sambutan hari raya mereka,” katanya.

Program ini turut dihadiri oleh Penasihat Maahad Tahfiz, Muhammad Jonid yang menyatakan penghargaan atas keprihatinan Jakel Alor Setar dan Universiti Utara Malaysia yang bukan sahaja membantu meringankan beban kewangan keluarga pelajar, tetapi juga memberi semangat kepada mereka untuk terus berusaha dalam pengajian tahfiz.

Pelajar telah dibantu oleh staf Jakel dalam memilih pakaian yang sesuai mengikut saiz dan citarasa masing-masing bagi memastikan mereka selesa ketika menyambut Hari Raya Aidilfitri nanti.

Kemudian, pelajar-pelajar bersama staf Jakel dan Unit Bahasa Antarabangsa merakamkan gambar kenangan sebagai tanda penghargaan terhadap usaha murni ini. – Zeety Kartini Abdul Hamid

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button