UUM ambil tindakan proaktif susulan audit ISO 9001:2015
Gambar oleh Sobiroh Hamdi
SINTOK, 12 Oktober 2025: Universiti Utara Malaysia (UUM) telah berjaya menjalankan audit pensijilan semula bagi Sistem Pengurusan Kualiti MS ISO 9001:2015 baru-baru ini. Audit tersebut telah dilaksanakan oleh badan pensijilan yang diiktiraf iaitu SIRIM QAS dan bertujuan memastikan pematuhan berterusan terhadap piawaian kualiti yang ditetapkan.
Hasil daripada audit tersebut, UUM telah menerima 1 Ketakakuran (NCR) dan 18 Peluang Penambahbaikan (OFI). Susulan dapatan ini, Pihak Pusat Pengurusan Kualiti dan Akreditasi (PPQA) telah mengadakan sesi perbincangan melalui platform webex yang telah dipengerusikan oleh Pengarah PPQA, Profesor Dr. Mohd. Haniff bin Jedin bersama Pusat Tanggungjawab (PTJ) dan Pusat Pengajian (PP) yang terlibat bagi meneliti isu-isu yang dibangkitkan serta merangka tindakan pembetulan dan penambahbaikan yang bersesuaian.
PP dan PTJ yang terlibat kini berada dalam tempoh pelaksanaan tindakan penambahbaikan bagi menutup NCR dan melaksanakan penambahbaikan berasaskan OFI yang diterima semasa audit.
Menurut Profesor Dr. Mohd. Haniff, perbincangan ini bukan sahaja penting untuk memastikan pemeliharaan status pensijilan ISO universiti, tetapi juga sebagai usaha berterusan dalam memperkukuh budaya kualiti dan penambahbaikan berterusan (continual improvement) di seluruh ekosistem pengurusan universiti.
Sesi perbincangan ini diakhiri dengan penetapan tindakan susulan dan tempoh masa pelaksanaan bagi setiap PTJ serta komitmen untuk memastikan semua tindakan pembetulan siap dilaksanakan sebelum sesi penilaian semula oleh pihak SIRIM.
Langkah susulan ini mencerminkan kesungguhan universiti dalam mengekalkan standard pengurusan yang tinggi serta memastikan perkhidmatan yang diberikan sentiasa memenuhi keperluan pelanggan dan pihak berkepentingan. – Siti Hajar Mat Isa