General

UUM capai kelas pertama untuk KPI 2024

SINTOK, 7 Januari 2025: Pencapaian gred keseluruhan (GPA) untuk enam teras dalam Pelan Strategik Universiti Utara Malaysia (UUM) mencecah angka 3.68 pada 2024, ketimbang 3.51 pada 2023.

Mengumumkan perkara itu dalam Pembentangan Pencapaian Pelan Strategik Peringkat Universiti 2024 di bilik Senat pagi ini, Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan turut mengucapkan terima kasih kepada semua staf yang telah bertungkus lumus menjayakan petunjuk prestasi utama (KPI) masing-masing.

Terdahulu, pembentangan mengenai Penjanaan Dana Untuk Universiti turut dikongsikan Naib Canselor dengan Ahli Jawatankuasa Pengurusan Universiti (JPU), dekan dan ketua pusat tanggungjawab.

Menurutnya, KPI yang cemerlang untuk 2024 antara lain kerana peningkatan keberhasilan dalam bidang penyelidikan, inovasi, dan pengkomersialan yang menyumbang kepada ekosistem RICE (Penyelidikan, Inovasi, Pengkomersialan & Keusahawanan).

“Momentum positif ini mencerminkan komitmen UUM dalam merealisasikan visi sebagai universiti pengurusan terkemuka, selaras dengan pendekatan Quintuple Helix yang menyokong inovasi dan pembangunan holistik,” katanya.

Dr. Mohd Foad berkata, antara penyumbang utama peningkatan GPA melibatkan penyelidikan antarabangsa dan kolaborasi industri.

Menurutnya, kejayaan UUM dalam meningkatkan penerbitan hasil penyelidikan dan memperkukuhkan hubungan strategik dengan komuniti global menjadi faktor pendorong utama dalam pencapaian ini.

Katanya, pencapaian lain termasuk langkah progresif dalam keusahawanan, di mana budaya minda keusahawanan terus dipupuk dalam kalangan mahasiswa.

“Usaha ini bertujuan melahirkan graduan holistik yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik, tetapi juga bersedia menghadapi cabaran dunia nyata.

“Dalam aspek kewangan pula menunjukkan peningkatan daya tahan dengan pelaksanaan strategi pemerkasaan dana yang lebih inovatif. Pendekatan ini bukan sahaja memastikan kelestarian kewangan, tetapi juga memperkukuhkan pengurusan sumber manusia dan infrastruktur digital,” katanya.

Beliau berkata, tahun ini adalah landasan untuk pencapaian lebih gemilang dan UUM akan terus berinovasi dan berkolaborasi untuk kekal relevan dan unggul.

UUM membuktikan bahawa institusi ini berada pada landasan tepat untuk terus memberi impak kepada komuniti dan industri, selaras dengan misinya untuk mendidik pemimpin berpewatakan holistik. – Kori Ariff

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button