General

UUM catat lonjakan cemerlang dalam THE Impact Rankings 2025

CI Norazlina Ahmad

SINTOK, 18 Jun 2025: Universiti Utara Malaysia (UUM) terus mengukir nama di persada antarabangsa apabila mencatat peningkatan luar biasa dalam Times Higher Education (THE) Impact Rankings 2025, dengan melonjak dari kedudukan 301–400 pada tahun 2024 ke kedudukan 101–200 pada tahun ini.

Peningkatan sebanyak 200 anak tangga ini bukan sahaja membuktikan keupayaan UUM dalam menyokong Matlamat Pembangunan Lestari (SDG), malah mengukuhkan reputasinya sebagai institusi pengajian tinggi yang progresif dan berwawasan.

Dalam penarafan kali ini, UUM menunjukkan prestasi yang sangat membanggakan berbanding tahun sebelumnya. Bagi SDG 4: Pendidikan Berkualiti, UUM melonjak ke kedudukan ke-56 pada tahun 2025, berbanding kedudukan 101–200 pada tahun 2024, mencerminkan peningkatan ketara dalam usaha memperluas akses kepada pendidikan yang inklusif dan berkualiti, manakala SDG 10: Mengurangkan Ketidaksamarataan pula menyaksikan peningkatan luar biasa apabila UUM berjaya menduduki tempat ke-41, berbanding kedudukan 201–300 pada tahun sebelumnya.

Bagi SDG 11: Bandar dan Komuniti Mampan, SDG 16: Keamanan, Keadilan dan Institusi Kukuh, serta SDG 17: Perkongsian untuk Matlamat, UUM mengekalkan kedudukan dalam kelompok 101–200, namun dengan skor impak yang lebih tinggi berbanding tahun 2024, menunjukkan peningkatan kualitatif dalam pelaksanaan inisiatif berkaitan.

Naib Canselor UUM, Profesor Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan berkata, kejayaan ini tidak datang secara kebetulan. Ia adalah hasil daripada pelbagai inisiatif strategik yang telah digerakkan oleh pihak universiti, termasuk pengukuhan dasar pendidikan yang inklusif, pelaksanaan program penyelidikan berimpak tinggi, serta kerjasama erat dengan pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan, industri dan organisasi bukan kerajaan.

Menurutnya, UUM juga giat memperluas jaringan antarabangsa dan meningkatkan kualiti penerbitan akademik yang menyumbang kepada penarafan global.

“Saya menyifatkan pencapaian ini sebagai manifestasi kesungguhan seluruh warga universiti dalam menjadikan UUM sebagai peneraju pendidikan lestari.

“Pencapaian ini adalah hasil usaha kolektif seluruh warga UUM yang sentiasa beriltizam untuk menjadikan universiti ini sebagai peneraju dalam pendidikan lestari. Ia juga mencerminkan kesungguhan kami dalam menyumbang kepada agenda global melalui pendekatan yang inklusif, beretika dan mampan,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa kejayaan ini akan menjadi pemangkin kepada usaha berterusan UUM untuk memperkukuh peranannya sebagai universiti pengurusan terkemuka yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik, tetapi juga bertanggungjawab terhadap pembangunan masyarakat dan alam sekitar.

Dengan pencapaian ini, UUM membuktikan bahawa universiti awam Malaysia mampu bersaing di peringkat global dan memainkan peranan penting dalam menjayakan agenda pembangunan lestari sejagat.

THE Impact Rankings 2025 yang dikeluarkan secara tahunan menyaksikan sebanyak 2318 universiti seluruh dunia yang disenaraikan bagi penarafan 2025.

Pautan keputusan penuh: https://www.timeshighereducation.com/impactranking

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button