UUM, CSM meterai perjanjian kukuhkan kerjasama bidang keselamatan siber
Gambar SOC
CYBERJAYA, 9 Oktober 2025: Universiti Utara Malaysia (UUM) melalui Pusat Pengajian Pengkomputeran (SOC) telah menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) bersama CyberSecurity Malaysia (CSM) bagi memperkukuhkan kerjasama dalam bidang keselamatan siber, latihan kepakaran, serta pembangunan kemahiran digital sejajar dengan agenda pendigitalan negara.
Majlis menandatangani perjanjian tersebut telah disempurnakan oleh Naib Canselor UUM, Prof. Dato’ Dr. Foad Sakdan dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) CSM merangkap Profesor Adjung SOC, Dato ‘ Ts. Dr. Amirudin Abdul Wahab.
Dalam ucapan aluan Dr. Foad Sakdan menzahirkan penghargaan kepada CyberSecurity Malaysia atas kepercayaan dan kesudian menjalin kerjasama strategik dengan UUM.
Menurutnya, majlis tersebut bukan sekadar perasmian sebuah dokumen, tetapi merupakan perayaan terhadap visi bersama, rasa saling menghormati, dan komitmen tulus untuk memperkukuh hubungan akademia dan industri dalam bidang keselamatan siber.
“MoA ini mencerminkan hasrat kedua-dua pihak untuk menjulang kecemerlangan akademik, pertukaran ilmu serta pembangunan inovasi dalam dunia pendidikan tinggi dan keselamatan digital.
“CyberSecurity Malaysia merupakan agensi terkemuka yang berperanan penting dalam memperkukuh keselamatan siber negara, membangunkan kepakaran tempatan, serta meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap isu-isu keselamatan digital,” katanya.
Dr. Mohd Foad berkata, dengan termeterainya MoA ini, Program Sarjana Keselamatan Siber (Master in Cybersecurity) yang dilaksanakan bersama CSM akan dapat diteruskan dengan lebih kukuh.
Menurutnya, beliau yakin bahawa kerjasama ini bukan sahaja akan memperluas keupayaan akademik dan memperkayakan pengalaman pembelajaran pelajar, tetapi juga akan menyumbang secara signifikan kepada pembangunan sosioekonomi negara melalui inovasi, penyelidikan, dan pembangunan modal insan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang telah bertungkus-lumus menjayakan majlis dan berharap agar kerjasama ini berkembang subur, kekal utuh, dan menjadi contoh cemerlang kepada kolaborasi akademia-industri dalam bidang keselamatan siber di peringkat antarabangsa.
Untuk rekod, sebanyak 15 graduan telah berjaya dilahirkan dalam tempoh dua tahun, dan jumlah ini dijangka meningkat dari semasa ke semasa bagi memenuhi keperluan tenaga mahir dalam bidang keselamatan siber.
Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi CSM, Roshdi Ahmad yang mewakili CEO CSM berkata, MoA ini juga dilihat sebagai jambatan simbolik antara dunia akademia dan industri, menyatukan kepakaran kedua-dua institusi dalam misi bersama untuk melahirkan graduan berdaya saing global serta memperluas perkongsian ilmu di peringkat antarabangsa.
Selepas majlis menandatangani perjanjian, delegasi UUM turut berpeluang melawat MyCyberSecurity Clinic, sebuah fasiliti yang menawarkan pelbagai perkhidmatan keselamatan siber termasuk data recovery, digital forensics, dan incident response.
Lawatan tersebut diketuai oleh Muhamad Izwandee, wakil CSM yang berkongsi pengalaman dan kepakaran dalam bidang keselamatan maklumat serta pemulihan data.
Dekan SOC, Prof. Ts. Dr. Osman Ghazali, turut menyatakan minat terhadap inisiatif klinik berkenaan dan berharap agar SOC dapat menubuhkan MyCyberSecurity Clinic@UUM sebagai hab keselamatan siber wilayah utara.
Menurutnya, inisiatif ini dijangka dapat menawarkan perkhidmatan kepakaran kepada masyarakat dan industri, khususnya dalam bidang pemulihan data (data recovery) serta pengurusan insiden keselamatan siber. – Noor Aina Norrdin