UUM-IRM bantu CIDB jayakan Bengkel Pengurusan Risiko dan BCM
Gambar UUM-IRM
SHAH ALAM, 4 Mei 2025: Bengkel Pengurusan Risiko dan Pengurusan Kesinambungan Perniagaan (BCM) anjuran Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) telah berlangsung dari 21 hingga 23 April lalu di Acappella Hotel.
CIDB telah memberi kepercayaan kepada Institut Pengurusan Risiko Universiti Utara Malaysia (UUM-IRM) untuk mengendalikan bengkel ini. Pasukan UUM-IRM yang hadir terdiri daripada Pengarah UUM-IRM, Dr. Amar Yasier Razli, bersama Dr. Zairol Azhar Auzzir dan Dr. Zarul Khalif Kamal selaku Felo Penyelidik UUM-IRM.
Dr. Amar berkata, bengkel yang diadakan khusus untuk pegawai risiko negeri dan cawangan CIDB ini bertujuan memperkasa kefahaman peserta terhadap konsep dan amalan terbaik pengurusan risiko serta pelan kesinambungan perniagaan.
Bengkel dimulakan dengan ucapan aluan oleh Pengurus Besar Bahagian Audit dan Risiko CIDB, Shahrulizam Zainal Abidin.
Beliau menekankan kepentingan pengurusan risiko yang sistematik dalam mencapai inisiatif strategik dan memperkukuh organisasi.
Sepanjang tiga hari bengkel, seramai 20 peserta didedahkan dengan prinsip-prinsip asas pengurusan risiko termasuk proses mengenal pasti, menganalisis dan menilai risiko.
Selain itu, peserta turut diperkenalkan kepada konsep Business Continuity Management (BCM) atau pengurusan kesinambungan perniagaan sebagai langkah persediaan menghadapi sebarang gangguan operasi.
Salah satu aktiviti utama bengkel ialah sesi praktikal di mana peserta diminta untuk mengisi daftar risiko. Bengkel ini diakhiri dengan pembentangan ‘risk register’ oleh peserta yang hadir.
Barisan Felo Penyelidik UUM-IRM kemudiannya memberikan maklum balas terperinci terhadap tugasan dan pembentangan dalam membantu peserta memahami analisis risiko secara lebih mendalam.
Penganjuran bengkel ini diharap dapat memperkukuh keupayaan CIDB dalam membina organisasi yang lebih cekap dan berdaya tahan dalam menghadapi risiko dan ketidakpastian global. – Dr. Amar Yasier Razli