UUM jalin kerjasama dengan Universitas Muhammadiyah Sumatera Utara
Gambar oleh Hairul Nizam Zahari
SINTOK, 23 Oktober 2025: Universiti Utara Malaysia (UUM) telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Universitas Muhammadiyah Sumatera Utara (UMSU), Indonesia bagi memperkukuh kerjasama akademik dan penyelidikan antara kedua-dua institusi.
Majlis menandatangani MoU yang diadakan di Balai Tamu, Bangunan Canselori Sultan Salehuddin itu disempurnakan oleh Naib Canselor UUM, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan, dan Rektor UMSU, Profesor Dr. Agussani.
Menurut Dr. Mohd Foad, pemeteraian MoU ini merupakan satu landasan penting untuk mengukuhkan kolaborasi antara UUM dan UMSU dalam pelbagai bidang, sama ada melibatkan staf akademik mahupun pelajar.
“Melalui kerjasama ini, kedua-dua institusi akan berusaha untuk menggalakkan dan mempromosikan kerjasama dalam pelbagai bidang penting,” katanya.
Sementara itu, Rektor UMSU, Dr. Agussani, berharap kerjasama ini dapat menjadi platform kepada kedua-dua universiti untuk berkongsi ilmu dan kepakaran, khususnya dalam bidang perundangan, sekali gus memperkukuh jaringan akademik antara kedua-dua universiti.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UUM, Profesor Dr. Mohd Azizuddin Mohd Sani; Dekan Fakulti Undang-Undang UMSU, Profesor Madya Dr. Faisal; Penolong Naib Canselor UUM Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa (COLGIS), Profesor Dr. Harlida Abdul Wahab; serta pegawai-pegawai kanan UMSU dan UUM.