AsiaGeneral

UUM Jalin kerjasama Poland teroka peluang akademik, penyelidikan baharu

Gambar oleh: Muhammad Shamsul Shafie

SINTOK, 22 September 2025: Universiti Utara Malaysia (UUM) terus memperkukuh jaringan kerjasama antarabangsa melalui pemeteraian Memorandum of Understanding (MoU) bersama Silesian University of Technology (SUT), Poland dalam satu majlis yang berlangsung di Balai Tamu, Bangunan Canselori Sultan Sallehuddin, pagi ini.

Melalui MoU ini, UUM dan SUT akan bekerjasama dalam pelbagai bidang termasuk mobiliti pelajar dan staf, pertukaran akademik, penyelidikan bersama serta perkongsian kepakaran dalam bidang teknologi dan pengurusan.

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UUM, Prof. Dr. Azizudin Mohd Sani yang mewakili Naib Canselor, berkata pemeteraian MoU ini merupakan langkah strategik untuk memperluas kerjasama akademik UUM di peringkat global.

“Kerjasama ini akan membuka peluang besar kepada pelajar dan pensyarah UUM untuk meneroka pengalaman antarabangsa melalui pertukaran akademik dan penyelidikan bersama. Ia bukan sahaja memperkukuh kedudukan UUM sebagai universiti pengurusan terkemuka, malah juga memperlihatkan komitmen kita dalam mendukung agenda globalisasi pendidikan tinggi,” katanya.

Tambah beliau, hubungan kerjasama dengan institusi bereputasi tinggi di Eropah ini akan memberi nilai tambah kepada usaha UUM dalam meningkatkan kecemerlangan akademik, inovasi penyelidikan dan pembangunan bakat.

Naib Rektor bagi Sains dan Kerjasama Antarabangsa SUT, Poland, Prof. Sebastian Werle pula yakin kerjasama yang terjalin mampu membuka peluang baharu kepada pelajar dan staf, sekali gus memupuk inovasi serta menangani cabaran global masa kini.

“SUT tetap komited terhadap kerjasama melalui program bersama, mobiliti staf dan pelajar, serta inisiatif pendidikan yang dikongsi. Saya yakin semua projek ini dapat dibangunkan dengan jayanya,” katanya.

Turut hadir, Profesor Ts. Dr. Osman Ghazali, Penolong Naib Canselor UUM CAS merangkap Dekan Pusat Pengajian Komputeran, delegasi dari SUT serta pegawai kanan universiti.

 

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button