UUM, JKKP Kedah bincang kerjasama dalam bidang KKP
Gambar JKKP Kedah
ALOR SETAR, 6 Julai 2025: Bahagian Pengurusan Risiko, Universiti Utara Malaysia (UUM) telah mengadakan kunjungan hormat ke Pejabat Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Kedah di Wisma Anak Bukit.
Delegasi diketuai Pengarah Bahagian, Shahrul Nizam Ahmad ini bertujuan membincangkan kerjasama strategik dalam bidang keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP).
Kedatangan delegasi UUM disambut Pengarah JKKP Kedah, Ir. Abdul Aziz Salim yang baru ditugaskan mengetuai jabatan itu di negeri ini.
Shahrul Nizam berkata, UUM sentiasa komited untuk menjalin kerjasama erat dengan JKKP Kedah dalam memperkukuh budaya keselamatan yang mampan.
“Kerjasama ini menjadi landasan penting untuk memperluas perkongsian pengetahuan, meningkatkan keupayaan profesional dan menjadikan UUM rujukan dalam pengurusan keselamatan serta risiko secara menyeluruh,” katanya.
Sementara itu, Ir Abdul Aziz berkata, UUM merupakan antara peneraju dalam bidang keselamatan dan kesihatan pekerjaan di Kedah, dan secara peribadi beliau berasa bangga dengan pencapaian tersebut.
Beliau turut memaklumkan hasrat JKKP untuk bekerjasama dengan UUM dalam Pelancaran Minggu Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH Week) 2025, yang dijadualkan bermula 7 Julai hingga 8 Ogos depan.
“OSH Week ini adalah inisiatif strategik untuk memacu budaya pematuhan dan kesedaran keselamatan secara menyeluruh serta memperkukuh promosi amalan KKP di semua peringkat.
“Saya juga menggalakkan UUM terus menyertai Anugerah KKP pada masa akan datang kerana yakin universiti mampu meraih pengiktirafan dalam kategori lain selain institusi pengajian tinggi,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menyatakan pihaknya memerlukan perkongsian kepakaran daripada UUM khususnya dalam pengurusan risiko dan krisis berkaitan kemalangan bahaya besar.
Menurutnya, JKKP mengiktiraf UUM sebagai rakan strategik yang berpotensi besar dalam memajukan amalan keselamatan dan kesihatan pekerjaan di negeri ini.
Katanya, pihaknya turut ambil maklum bahawa UUM melalui Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan (SBM) menawarkan Program Sarjana Sains (Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan) yang kini menjadi pilihan beberapa pegawai JKKP untuk melanjutkan pengajian bagi meningkatkan kelayakan akademik dalam bidang berkaitan. – Nurulwajhi Yahaya