CampusGeneral

UUM lalui Audit Pensijilan Semula MS ISO 9001:2015 Kali Ke-28

Gambar oleh Muhammad Shamsul Shafie

SINTOK, 6 Oktober 2025: Universiti Utara Malaysia (UUM) hari ini menerima kehadiran pasukan juruaudit dari SIRIM QAS bagi melaksanakan Audit Pensijilan Semula MS ISO 9001:2015 yang berlangsung selama tiga hari sehingga 8 Oktober 2025.

Mesyuarat pembukaan telah disempurnakan oleh Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan.

Menurutnya, audit pensijilan semula ini penting bagi memastikan UUM terus melaksanakan sistem pengurusan kualiti secara berterusan.

“UUM telah 28 tahun melaksanakan MS ISO 9001 dan seiring dengan perubahan standard, universiti sentiasa memperkukuh budaya kualiti melalui penambahbaikan proses kerja, audit kendiri dan audit dalaman secara bergilir di semua pusat pengajian serta pusat tanggungjawab,” katanya di Bilik Mesyuarat Naib Canselor, pagi tadi.

Pasukan juruaudit SIRIM QAS diketuai oleh Encik Muhamad Hadie Aizzat Asli, bersama Encik Tajul Arif Ariffin, Puan Rajalekshmi Rama Chandram, Puan Sarasvathy Sundara Pathar, Leftenan Kolonel (B) Abd Lataf Daud, dan Puan Siti Rahmah Ahmad.

Dr. Mohd Foad memaklumkan pada masa hadapan, penilaian kualiti akan dilaksanakan sepenuhnya melalui sistem audit dalaman UUM yang dikendalikan oleh Pusat Pengurusan Kualiti dan Akreditasi (PPQA UUM).

Namun, UUM tetap komited meneruskan Surveillance Audit oleh SIRIM pada tahun 2026 dan 2027 sebagai bukti pematuhan berterusan terhadap standard antarabangsa.

Sementara itu, Ketua Auditor, Muhamad Hadie dalam ucapannya menjelaskan, audit kali ini menumpukan kepada tiga aspek utama iaitu tahap pematuhan terhadap standard ISO 9001:2015 (Amendment 1:2024), pencapaian objektif serta sasaran kualiti yang ditetapkan oleh pusat tanggungjawab.

Beliau menambah, skop pensijilan meliputi tiga bidang utama iaitu, reka bentuk dan pembangunan program pendidikan di peringkat ijazah sarjana muda (sepenuh masa dan separuh masa) serta pascasiswazah.

Auditor turut melihat perkhidmatan pendidikan di peringkat ijazah sarjana muda (sepenuh masa dan separuh masa) serta pascasiswazah dan Pengurusan penyelidikan, penerbitan, perkhidmatan perpustakaan serta pelbagai perkhidmatan sokongan lain yang menyokong keberkesanan pusat tanggungjawab.

Audit ini sekali gus menegaskan komitmen UUM dalam mengekalkan kecemerlangan sistem pengurusan kualiti serta keterbukaan universiti terhadap cadangan penambahbaikan daripada pihak SIRIM.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa), Prof. Dr. Mohd Azizuddin Mohd Sani; Menjalankan Tugas Penolong Naib Canselor UUM COB, Prof. Madya Dr. Bakti Hasan Basri; Penolong Naib Canselor UUM CAS, Prof. Dr. Osman Ghazali; Penasihat Undang-Undang, Prof. Madya Dr. Khadijah Mohamed; Pendaftar, Encik Ahmad Rasidi Abdullah; Pegawai Menjalankan Fungsi Bursar UUM, Encik Mohtar Hasim; Ketua Pustakawan, Prof. Dr. Che Azlan Taib; dan Pengarah Canselori, Encik Mohd Zulkifli Mohd Noor @ Muhammad.

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button