UUM perkasa pembangunan komuniti menerusi inisiatif Kampung Angkat MADANI
Gambar Muhammad Shamsul Shafie
KUALA KEDAH, 4 Julai 2025: Universiti Utara Malaysia (UUM) terus mengorak langkah memperkasakan pembangunan komuniti melalui pendekatan akademik, sosial dan nilai kemanusiaan secara holistik dengan pelaksanaan Projek Kampung Angkat MADANI di Kampung Tengah, Kuala Kedah.
Majlis pelancaran telah disempurnakan oleh Ahli Lembaga Pengarah UUM Holdings, Dato’ Abdul Muthalib Harun di Dewan Orang Ramai Kampung Tengah, hari ini.
Turut hadir menyaksikan majlis tersebut ialah Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed.
Dalam ucapannya, Dato’ Abdul Muthalib menyatakan rasa bertuah dan penghargaan kerana Kampung Tengah yang terletak dalam Parlimen Kuala Kedah di bawah Dewan Undangan Negeri (DUN) Kubang Rotan telah terpilih sebagai kampung angkat UUM di bawah inisiatif MADANI.
Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak universiti atas pemilihan Kampung Tengah untuk pelaksanaan pelbagai aktiviti pembangunan komuniti.
“Dewan Kampung Tengah ini dahulunya merupakan Pejabat Penghulu Mukim Kuala Kedah dan kini telah dinaik taraf dengan pemantauan daripada Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri.
“Inilah nikmat pembangunan yang dapat kita lihat hari ini iaitu Kuala Kedah semakin maju, dan UUM pula hadir dengan pelbagai inisiatif untuk terus membangunkan komuniti di Kampung Tengah,” katanya.
Beliau berkata, sebagai permulaan pelaksanaan projek, UUM menerima peruntukan sebanyak RM1 juta daripada Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) untuk membiayai pembangunan asas serta program sosial yang dirancang.
Beliau menyatakan keyakinan bahawa pelaksanaan projek ini mampu mengubah landskap kehidupan masyarakat setempat menerusi pelan pembangunan yang menyeluruh.
Sementara itu, Dr. Mohd Foad berkata, pelaksanaan Projek Kampung Angkat MADANI ini adalah kesinambungan daripada pembentangan Belanjawan 2025 yang lalu, di mana Perdana Menteri menyuarakan hasrat kerajaan untuk memperluaskan program tersebut ke tahun kedua pelaksanaannya.
Menurutnya, peruntukan RM1 juta yang diterima akan dimanfaatkan melalui pelaksanaan beberapa inisiatif utama seperti Projek Menaik Taraf dan Membaik Pulih Dewan Orang Ramai Kampung Tengah, Program Bimbingan Tuisyen Percuma, Program Koreksional, Program Kesihatan, Klinik Bola Sepak serta pemberian Sijil Pengadil Bola Sepak.
“Pelaksanaan program ini bukan hanya tertumpu kepada pembangunan infrastruktur semata-mata, tetapi turut menjurus kepada pembentukan jalinan silaturahim, pemindahan ilmu, serta semangat bergotong-royong antara warga universiti dan masyarakat setempat,” katanya.
Majlis pelancaran turut menyaksikan penyerahan simbolik beberapa projek di bawah inisiatif Kampung Angkat MADANI. Antaranya, Program POTENSI 25 oleh Pusat Pengajian Pendidikan kepada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Pantai dan SMK Laksamana; Program PRINTIS oleh Pusat Pengajian Psikologi Gunaan, Dasar dan Kerja Sosial kepada wakil komuniti Kuala Kedah; serta Klinik dan Sijil Pengadilan Bola Sepak daripada Pusat Sukan kepada pelajar SMK Sri Pantai dan golongan belia Kampung Tengah.
Selain itu, Program Kesihatan daripada Pusat Kesihatan dan Kesejahteraan Universiti (PKKU) diserahkan kepada wakil keluarga, Maimunah Yahya yang menerima bantuan kerusi roda. Kursus Kepimpinan pula disampaikan oleh Ketua Modul Kursus, Dr. Mazli Mutazam kepada Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Kampung Tengah.
Pada majlis sama, Dr. Ahmad Martadha turut menyampaikan sumbangan beras kepada 50 keluarga terpilih dari komuniti Kuala Kedah bagi meringankan beban serta membantu keperluan harian mereka.
Pada sebelah petang, Menteri Pendidikan, Dato’ Seri Dr. Zambry Abdul Kadir hadir untuk menandatangani plak perasmian Kampung Angkat MADANI UUM di hadapan Dewan Orang Ramai Kampung Tengah.
Beliau kemudian meneruskan agenda lawatan dengan menyertai program Ziarah Kasih di kampung berkenaan sebagai tanda sokongan dan keprihatinan terhadap komuniti setempat.
Hadir sama, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Mohd Azizuddin Mohd Sani dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Ram Al Jaffri Saad.