UUM perkukuh kerjasama gengan CGS International Securities bagi pembangunan UUM Trading Room
Berita dan gambar Dr. Ahmad Hakimi Tajuddin
KUALA LUMPUR, 8 Disember 2025: Universiti Utara Malaysia (UUM) melalui Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB) terus memperkukuhkan hubungan strategik dengan industri kewangan menerusi satu kunjungan rasmi ke CGS International Securities di Menara IQ, Tun Razak Exchange (TRX).
Delegasi UUM diketuai oleh Dekan SEFB, Prof. Madya Dr. Bakti Hasan Basri bersama Dr. Ahmad Hakimi Tajuddin, manakala pihak CGS diwakili oleh pasukan pengurusan yang diketuai oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Khairi Shahrin Arief.
Dr. Bakti berkata, pertemuan ini memberi fokus kepada pengukuhan kerjasama industri dan akademia serta pelaksanaan inisiatif baharu bagi pembangunan UUM Trading Room, sebuah platform penting dalam pengajaran dan pembelajaran pasaran kewangan di UUM.
Dalam pertemuan tersebut, Khairi Shahrin menyatakan persetujuan CGS untuk menyalurkan sumbangan wakalah berjumlah RM30,000 kepada UUM melalui Pusat Islam UUM bagi manfaat 150 pelajar, selain menyumbang lima unit komputer kepada UUM Trading Room pada tahun ini.
“Pada tahun 2026, CGS (melalui CGS Penang) juga berhasrat menambah 10 hingga 15 unit komputer lagi bagi meningkatkan kemudahan latihan dan simulasi pasaran sebenar.

“Selain itu, CGS juga bersedia memperbaharui Memorandum Persefahaman (MoU) bersama SEFB, yang merangkumi pembangunan kemudahan Trading Room serta penggunaan platform dagangan CGS sebagai alat pengajaran,” katanya.
Pertemuan berkenaan turut membuka pelbagai peluang tambahan kepada pelajar dan staf akademik UUM. Antaranya, CGS menawarkan kerjasama dalam penganjuran program literasi kewangan, ekonomi, ESG dan simulasi dagangan, termasuk penyediaan penceramah pakar. Pelajar UUM turut digalakkan menyertai Program investED anjuran Suruhanjaya Sekuriti yang menyediakan elaun RM2,400 kepada peserta terpilih.
Bagi staf akademik, CGS menawarkan peluang short industry attachment dalam bidang seperti corporate finance, equity trading dan capital market, yang akan dilaksanakan semasa cuti semester tertakluk kelulusan universiti.
Dr. Bakti berkata, SEFB pada masa sama merancang menambah baik kemudahan serta memperluas penggunaan UUM Trading Room agar dapat dimanfaatkan oleh lebih banyak kursus seperti pelaburan, portfolio management, treasury dan kewangan pasaran.
CGS turut menyatakan hasrat untuk memperkenalkan Professional Certificate berkaitan pasaran modal pada masa hadapan, yang bakal ditawarkan kepada pelajar, graduan dan staf akademik UUM.
Kerjasama strategik ini dijangka memperkukuh ekosistem pembelajaran kewangan di UUM serta meningkatkan kebolehpasaran graduan dalam sektor pasaran modal dan kewangan.



