UUM santuni asnaf, perkasa nilai kemanusiaan menjelang Syawal
Gambar Mohd Fuad Hamid
KUALA LUMPUR, 18 Mac 2026: Keberkatan Ramadan dimanfaatkan sepenuhnya oleh Universiti Utara Malaysia (UUM) apabila tampil menyantuni golongan asnaf menerusi pelbagai bentuk sumbangan dalam usaha menyemarakkan semangat kebersamaan menjelang Syawal.

Naib Canselor, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed berkata, penganjuran majlis iftar bukan sekadar jamuan berbuka puasa, sebaliknya menjadi simbol nilai tawaduk dan keprihatinan sosial dalam kalangan warga universiti.
“Di sebalik kesibukan kota raya, program ini membuka ruang untuk kita berkumpul, berkongsi rezeki dan memperkukuhkan ukhuwah,” katanya dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Ram Al-Jaffri Saad yang menjalankan fungsi Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), semalam.

Majlis Iftar Perdana UUM Kampus Kuala Lumpur (UUMKL) 1447H itu menyaksikan penyaluran sumbangan kepada golongan asnaf termasuk bantuan daripada Pusat Zakat dan Wakaf UUM, agihan 1,000 MADANI ResQ Pek kepada Food For Gelandangan (FFG) dan Bubur Lambuk Seri Sintok yang dihasilkan menggunakan teknologi retort.
Menurutnya, penggunaan teknologi tersebut membolehkan bubur lambuk disimpan sehingga enam bulan, sekali gus meningkatkan kecekapan pengagihan kepada golongan memerlukan.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan warga UUM agar terus menyeimbangkan kecemerlangan intelek dengan kemuliaan akhlak, selari dengan aspirasi universiti iaitu Menjulang Ilmu, Mengakar Adab.
“UUMKL perlu kekal sebagai pusat kecemerlangan ilmu yang relevan dengan kehendak industri, namun tidak terpisah daripada nilai kesantunan dan kemanusiaan,” katanya.

Majlis turut diserikan dengan Tazkirah Ramadan oleh juara Da’ie Muda YADIM, Mohamad Fadhil Yahya, sebelum program diteruskan dengan pengagihan MADANI ResQ Pek kepada golongan gelandangan di sekitar ibu kota.
Antara yang hadir ialah Konsulat Kehormat Malaysia di Uganda, Al Haj Habib Kagimu; Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Mohd Azizuddin Mohd Sani; Pemangku Ketua Kampus UUMKL, Prof. Dr. Norlena Hasnan; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan UUM Holdings, Azman Hisham Che Doi; serta Pengasas Food For Gelandangan (FFG), Mohd Azizan Zainal Abidin.
Program ini mencerminkan komitmen berterusan UUM dalam memperkasakan nilai kemanusiaan dan menyantuni komuniti, selari dengan semangat Ramadan yang menuntut keprihatinan terhadap golongan kurang bernasib baik.



