UUM sasar kedudukan 300 terbaik dunia menjelang 2030
Gambar Muhammad Shamsul Shafie
SINTOK, 2 Februari 2026: Universiti Utara Malaysia (UUM) menyasarkan untuk berada dalam kelompok 300 universiti terbaik dunia dalam QS World University Rankings menjelang tahun 2030 berbanding kedudukan semasa sekitar 491, sekali gus menuntut tindakan yang lebih agresif dan pantas di semua peringkat pengurusan serta fakulti.
Naib Canselornya, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed berkata, pendekatan bekerja secara perlahan tidak lagi relevan ketika ini, sebaliknya seluruh warga universiti perlu bergerak pantas dan berfokus bagi mencapai petunjuk prestasi utama (KPI) yang telah ditetapkan.

“Sekarang bukan masa untuk berjalan, tetapi masa untuk berlari. Apabila seseorang memegang jawatan ketua Pusat Tanggungjawab (PTJ), itulah masanya untuk terus bekerja dan mencapai sasaran.
“Antara fokus utama adalah peningkatan kedudukan universiti di peringkat Asia dan Asia Tenggara, selari dengan aspirasi nasional dan penekanan yang turut diberikan oleh semua Naib Canselor Universiti Awam,” katanya pada Majlis Amanat Naib Canselor di EDC-UUM, hari ini.
Beliau turut menyentuh kepentingan nisbah pelajar sarjana muda dan pascasiswazah yang disasarkan menghampiri nisbah 1:1 di kalangan universiti ternama dunia, sebagaimana dibincangkan bersama Naib Canselor Universiti Malaya baru-baru ini.
Bagi tahun ini, menurutnya, UUM menyasarkan seramai 3,000 pelajar antarabangsa merangkumi pelajar sarjana muda dan pascasiswazah.
“Setakat ini, jumlah pendaftaran adalah 1,919 pelajar menunjukkan keperluan kepada usaha promosi dan pengambilan pelajar yang lebih agresif.

“Sehubungan itu, Bahagian Pemasaran Universiti telah dijenamakan semula kepada Recruitment and Global Engagement dengan pelantikan kepimpinan muda bagi menerajui usaha tersebut. Penekanan diberikan kepada aktiviti turun padang bagi menarik pelajar, bukan sekadar promosi tanpa hasil nyata,” katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa setiap penyertaan dalam aktiviti promosi perlu menghasilkan pulangan yang jelas termasuk sasaran membawa pulang bilangan pelajar baharu yang signifikan.
Selain itu, universiti juga melihat potensi besar dalam bidang pendidikan khususnya ‘Early Childhood Education’ selari dengan keperluan negara terhadap tenaga pengajar berkelayakan dan UUM dijangka menjadi institusi ketiga di Malaysia yang menawarkan program tersebut selepas Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Open University.

“Inilah masa yang sesuai untuk Pusat Pengajian Pendidikan (SOE) bergerak ke hadapan. Kurangkan karenah birokrasi, elakkan konflik dalaman dan beri tumpuan kepada peluang yang ada,” katanya.
Beliau berkata, universiti perlu bersikap proaktif, terbuka kepada kerjasama strategik dan tidak hanya menunggu peluang datang, sebaliknya mencipta peluang demi memastikan kelangsungan dan kecemerlangan institusi.
Hadir sama, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Mohd Azizuddin Mohd Sani; Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) merangkap Menjalankan Fungsi Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Ram Al Jaffri Saad; Pendaftar, Ahmad Rasidi Abdullah serta Bursar, Mohtar Hasim.



