UUM serah Dewan Kampung Tengah Kuala Kedah
Gambar Shamsaimi Ezil
ALOR SETAR, 28 Disember 2025: Universiti Utara Malaysia (UUM) terus memperkukuhkan peranannya sebagai institusi pemacu pembangunan komuniti apabila melaksanakan Program Kampung Angkat MADANI UUM di Kampung Tengah, Kuala Kedah, sekali gus menterjemahkan gagasan besar negara ke peringkat akar umbi melalui pendekatan holistik dan berimpak tinggi.
Naib Canselor, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed berkata, program ini merupakan manifestasi komitmen universiti dalam menyantuni masyarakat luar bandar menerusi pemindahan ilmu dan pembangunan komuniti yang merangkumi aspek pendidikan, koreksional sosial, kepimpinan serta pembangunan bakat sukan.

Menurutnya, Program Kampung Angkat MADANI adalah inisiatif kerajaan bagi merapatkan jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar.
“UUM berasa amat berbangga apabila terpilih sebagai antara pelopor pelaksanaan program ini.
“Universiti telah menerima peruntukan sebanyak RM1 juta daripada Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) yang dimanfaatkan sepenuhnya untuk pembangunan prasarana asas serta pelaksanaan program sosial dan pemindahan ilmu kepada komuniti Kampung Tengah,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Dewan Kampung Tengah Kuala Kedah, Kampung Angkat MADANI UUM Tahun 2025, di sini, semalam.

Antara inisiatif utama yang dilaksanakan melalui peruntukan tersebut ialah projek menaik taraf dan membaik pulih Dewan Kampung Tengah yang telah siap sepenuhnya dan boleh dimanfaatkan oleh penduduk setempat.
Skop kerja yang dilaksanakan merangkumi pembesaran bahagian sisi dan hadapan dewan, pembinaan sistem perparitan baharu, penukaran bumbung, tingkap dan pintu, pemasangan pendingin hawa, naik taraf sistem pendawaian elektrik dan pemasangan sistem audio (PA), pembaikan tandas serta penurapan jalan.
“Siapnya dewan ini bukan sekadar menyediakan kemudahan fizikal, malah menjadi simbol kerjasama strategik antara universiti, kerajaan dan komuniti setempat.

“Ia diharap dapat dimanfaatkan sebagai pusat aktiviti masyarakat, sekali gus mengeratkan hubungan silaturahim dan memperkukuh perpaduan komuniti,” katanya.
Dr. Ahmad Martadha menegaskan bahawa Program Kampung Angkat MADANI bukan hanya projek pembangunan fizikal, sebaliknya satu usaha menyeluruh untuk membawa warga universiti keluar dari lingkungan kampus bagi menyelami denyut nadi masyarakat, menjadikan universiti sebagai agen perubahan yang inklusif, berjiwa rakyat dan berteraskan nilai ihsan.
Katanya, pendekatan ini selari dengan kerangka ‘whole of government’, yang menekankan penyelarasan rentas agensi, kecekapan pelaksanaan serta penyampaian impak secara langsung kepada rakyat.

Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Ahli Lembaga Pengarah UUM Holdings, Datuk Abdul Muthalib Harun atas peranan dan komitmen luar biasa dalam menjayakan Program Kampung Angkat MADANI di Kuala Kedah.
“Ketokohan dan kepimpinan beliau sebagai pemimpin komuniti telah menjadi jambatan kukuh antara universiti dan masyarakat setempat, sekali gus memastikan aspirasi program ini dapat dicapai dengan berkesan,” katanya.
Majlis turut dihadiri Pemimpin Komuniti Kuala Kedah, Dr. Sobri Sudin;, Dekan Hal Ehwal Pelajar UUM, Prof. Madya Dr. Zainudin Omar, barisan dekan pusat pengajian, pengarah pusat tanggungjawab universiti, Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar UUM, Muhammad Syahmi Iman Muhammad Rezal serta penduduk setempat. – Kori Ariff



