General

UUM terima Anugerah Majikan Terbaik KWSP 2025

Berita Kori Ariff

SUNGAI PETANI, 22 Oktober 2025: Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menerima Anugerah Majikan Terbaik (Kategori Majikan dengan Pekerja 500 hingga 1000 Orang) daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi wilayah Kedah/Perlis, hari ini.

Anugerah berprestij ini telah disampaikan oleh Pengurus Wilayah Utara KWSP, Jeffary  Mohamed Isa, dalam Majlis Pengiktirafan Majikan Terbaik KWSP Kedah/Perlis 2025 yang berlangsung di Park Avenue Hotel.

Pengiktirafan tersebut telah diterima oleh Naib Canselor UUM, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan, yang mewakili seluruh warga universiti.

Melalui penganugerahan ini, UUM menzahirkan komitmen berterusan untuk menjadi majikan bertanggungjawab dan beretika, serta memastikan setiap obligasi terhadap KWSP dipenuhi dengan penuh integriti demi kebajikan seluruh warga kerja universiti.

Majlis ini juga turut dihadiri oleh Prof. Dr. Selamah Maamor, Dekan Pusat Pengajian Perniagaan Islam, dan Dr. Mohamad Yazid Isa, Pengurus Dana Sosial Takaful, Pusat Pengajian Perniagaan Islam.

Kerjasama antara KWSP dan Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS), melalui Dana Sosial Takaful (STF), telah terjalin sejak tahun 2024 untuk menganjurkan bengkel perancangan persaraan kepada hampir 1,200 pelajar dan staf UUM di dalam kampus.

Program ini turut diperluaskan kepada pelajar sekolah, institusi pengajian tinggi, serta komuniti di seluruh negeri Kedah bagi memastikan kempen kesedaran kewangan ini mencapai matlamatnya.

Dr. Mohd Fo’ad, dalam ucapannya mengucapkan penghargaan kepada pihak KWSP atas pengiktirafan ini dan menegaskan komitmen berterusan UUM untuk meningkatkan program kesedaran perancangan persaraan. Beliau juga memberi penekanan terhadap peranan penting Dana Sosial Takaful (STF), Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS) dalam memfasilitasi kerjasama ini bersama KWSP, yang bertujuan memastikan kewangan persaraan masyarakat pada masa hadapan berada dalam keadaan yang lebih terjamin.

“Setinggi-tinggi penghargaan kepada KWSP atas pengiktirafan bermakna ini yang menjadi pemangkin untuk terus memperkukuh tadbir urus sumber manusia dan kesejahteraan staf,” katanya.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button