General

UUM terus jadi pilihan lebih 4,500 pelajar mendaftar Sesi 2025/2026

Gambar Mohd Fuad Hamid

SINTOK, 23 September 2025: Universiti Utara Malaysia (UUM) menerima kemasukan 4,549 pelajar baharu terdiri pelajar tempatan dan antarabangsa yang akan mengikuti 48 program pengajian Sarjana Muda bagi sesi 2025/2026.

Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan berkata, daripada jumlah itu, seramai 4,381 adalah pelajar tempatan yang merupakan lulusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) / Setaraf, Diploma, Matrikulasi, Asasi Pengurusan UUM dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), manakala 3.7 peratus (168) lagi adalah pelajar saluran antarabangsa.

Menurutnya,pecahan terbesar bagi pelajar tempatan yang mendaftar adalah daripada ambilan melalui UPU seramai 4,118, manakala lepasan Asasi Pengurusan UUM seramai 263.

Katanya, pada kemasukan kali ini, UUM menerima 69 peratus (3,143) pelajar perempuan dan 31 peratus (1,406) adalah pelajar lelaki.

“Manakala, kemasukan pelajar saluran antarabangsa pula, UUM menerima 110 pelajar peringkat Sarjana Muda dari Indonesia (81), China (15), Thailand (5), Somalia (4) dan Uzbekistan (2), manakala masing-masing satu (1) bagi Pakistan, Yeman dan Bangladesh.

“Sementara 57 pelajar mobiliti dari Indonesia (33), Uzbekistan (16), China (3), Brunei (3), Timor Leste (1) dan Perancis (1) serta seorang pelajar warganegara Malaysia yang melalui saluran antarabangsa kerana mendapat pendidikan dan menetap di luar negara,” katanya.

Program Sarjana Muda Perakaunan dengan Kepujian menerima kemasukan terbesar seramai 430 pelajar, diikuti Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan dengan Kepujian (230) dan Sarjana Muda Sains Ekonomi dengan Kepujian (227).

Program Sarjana Muda Perakaunan dengan Kepujian dan Sarjana Muda Perakaunan (Sistem Maklumat) dengan Kepujian masih mengekalkan CGPA masuk 4.00 bagi lepasan STPM/Matrikulasi.

Seperti tahun sebelum ini, UUM turut menawarkan tempat kepada pelajar orang kurang upaya (OKU) dari pelbagai kategori seramai 11 orang, pelajar Orang Asli (9) dan sembilan pasangan kembar.

Dr. Mohd Foad berkata, tahun ini UUM menerima pelajar kembar teramai berbanding tahun lalu hanya enam pasangan sahaja.

Keseluruhan, sehingga 21 September, jumlah pelajar UUM adalah seramai 30,212 orang iaitu 26,398 bagi peringkat pengajian sarjana muda dan 3,814 bagi pascasiswazah.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button