General

YDP Dewan Rakyat cabar pelajar UUM kuasai empat bahasa

Gambar Mohd Fuad Hamid

SINTOK, 13 April 2025: Pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) disarankan supaya menguasai sekurang-kurangnya empat bahasa sebagai sebagai asas penting untuk bersaing dalam pasaran kerja global yang semakin mencabar sekali gus meningkatkan kebolehpasaran graduan universiti ini.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkata, pelajar perlu bijak menggunakan peluang yang ada semasa menuntut di institusi pengajian tinggi untuk menguasai pelbagai bahasa.

Menurutnya, cuba kuasai Bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan di negara ini, Bahasa Inggeris sebagai bahasa antarabangsa, Mandarin sebagai bahasa perdagangan dan Bahasa Arab misalnya.

“Dengan menguasai banyak bahasa, kamu tidak akan pernah salah kerana semua majikan akan mencari pelajar UUM, jadi universiti perlu wajibkan pelajar ambil empat bahasa kerana saya percaya Tuhan jadikan otak kita tanpa had,” katanya pada Program Outreach “Bicara Kepimpinan: Memupuk Kepimpinan Masa Hadapan” di Dewan Seminar A, Pusat Konvensyen, hari ini.

Johari berkata, gunakan tempoh empat tahun di universiti untuk belajar dan menguasainya, bermula dari hari pertama di sini.

Beliau mengingatkan pelajar agar tidak hanya tertumpu kepada pencapaian akademik, sebaliknya turut membina kemahiran komunikasi, jaringan global dan nilai integriti yang kukuh.

“Kepimpinan bermula dengan keberanian untuk keluar dari zon selesa. Kuasai bahasa, perluas jaringan, dan jadilah pemimpin yang relevan dalam era digital.

“Saya menggalakkan pelajar UUM supaya lebih banyak menganjurkan lawatan sambil belajar ke luar, terutama universiti-universiti untuk meluaskan lagi pengalaman serta pengetahuan mereka. Keluarlah untuk melihat dunia. Jangan terlalu terikat dengan sistem,” katanya.

Johari berkata lagi, beliau yakin bahawa dengan perkembangan teknologi maklumat masa kini, semua pelajar sama ada di bandar atau luar bandar sebenarnya mempunyai peluang sama rata dalam menuntut ilmu.

Katanya, kebanyakan tempat sudah ada akses kepada Internet, bergantung bagaimana untuk memanfaatkan kemudahan teknologi yang ada, tiada alasan ilmu tak sampai kepada anak-anak di kampung.

Sementara itu beliau turut menasihatkan pelajar yang berminat untuk menceburkan diri dalam bidang politik agar memiliki pakej lengkap antaranya pencapaian yang baik dalam pelajaran serta penampilan yang menarik.

“Anda bukan sahaja akan ditanya oleh ribuan manusia, tapi anda juga akan ditanya oleh Tuhan, apakah yang telah anda lakukan ketika anda mempunyai kuasa, jadilah seorang wakil rakyat yang bijak,” katanya mengakhiri sesi soal jawab bersama pelajar tadi.

Terdahulu, beliau berkesempatan mengunjungi Anjung Tamu sambil diiringi Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed.

Program tersebut turut dihadiri Penolong Naib Canselor COLGIS, Prof. Dr. Harlida Abdul Wahab; Dekan Hal Ehwal Pelajar, Prof. Madya Dr. Zainudin Omar; Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar, Mohamad Amar Aidid Mohd Zain dan pelajar terdiri daripada pemimpin persatuan dan pelajar UUM COLGIS. – Kori Ariff dan Nordiana Shafiee

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button