General

Zurich serah sumbangan zakat RM30,000 kepada pelajar UUM

Berita dan gambar Anis Zulaikha Kamal

KUALA LUMPUR, 26 Ogos 2025: Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menerima sumbangan wakalah zakat bernilai RM30,000 daripada Zurich Takaful Malaysia Berhad dalam satu majlis di Zurich HQ, KL Eco City pada 22 Ogos lalu.

Sumbangan ini dihulurkan bagi membantu pelajar UUM yang memerlukan dan diharapkan dapat meringankan beban kewangan serta membantu kelangsungan pengajian pelajar.

Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan dalam ucapannya menzahirkan penghargaan kepada Zurich atas keprihatinan dan komitmen yang ditunjukkan.

Beliau menegaskan bahawa sokongan industri bukan sahaja memperkukuh ekosistem pendidikan universiti malah menjadi pemangkin kepada pembangunan modal insan yang seimbang dari segi akademik dan sahsiah.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif, Zurich Takaful, Fatihah Mustafa berkata, pihaknya amat berbesar hati dapat menjalin kerjasama strategik dengan UUM melalui Pusat Pembangunan Kerjaya dan Kebolehpasaran Graduan (PPKKG), di samping menyumbang kembali kepada masyarakat melalui zakat.

“Saya berharap inisiatif ini dapat memberi manfaat berpanjangan kepada pelajar dan universiti demi kelangsungan mereka menjalani kehidupan di kampus,” katanya.

Pada majlis sama turut diadakan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara UUM dan Zurich Takaful.

MoU ini dimeterai selepas program latihan pembangunan bakat inisiatif PPKKG iaitu Zurich Takaful Padawan di bawah program School of Hard Knocks (SoHK) yang bermula sejak 2021.

Selain itu, MoU ini juga membuka ruang yang lebih luas merangkumi kerjasama projek penyelidikan dan pembangunan komuniti, program felo industri, program pembangunan staf serta bidang kerjasama lain yang dipersetujui dari semasa ke semasa.

Di samping itu, Zurich akan mempertimbangkan untuk menawarkan bilangan peluang latihan amali yang sesuai kepada pelajar UUM berdasarkan keperluan seperti yang ditentukan. Program latihan akan berfungsi sebagai alat yang kukuh untuk menilai pengetahuan, kemahiran dan kecekapan pelajar.

Melalui jalinan ini, kedua-dua pihak berhasrat untuk memperkukuhkan hubungan unievrsiti dan industri ke arah melahirkan graduan yang berdaya saing dan memenuhi keperluan pasaran kerja semasa.

Majlis menandatangani MoU itu disaksikan oleh barisan pengurusan kanan kedua-dua pihak, diikuti dengan simbolik penyerahan replika cek zakat kepada Naib Canselor.

Turut hadir dalam majlis itu, Dekan Hal Ehwal Pelajar, Prof. Madya Dr. Zainudin Omar; Pengarah PPKKG, Dr. Fikriyah Abdullah, dan Penyelaras SoHK, Dr. Adilah Azhari.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button