Langkah pertama menuju Transformasi Changlun
SINTOK, 21 Januari 2025: Satu program ‘plogging’ bersama Pusat Tanggungjawab di bawah Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) telah diadakan bertempat di sekitar kawasan Universiti Utara Malaysia (UUM).
Program ini dianjurkan oleh Pusat Pengujian, Pengukuran dan Penilaian (CeTMA) dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Penyelidikan, Pembangunan dan Inovasi (JHEPPI) dan Jabatan Pembangunan dan Pengurusan Infrastruktur (JPPI) serta melibatkan penyertaan seramai 118 orang staf daripada 11 pusat tanggungjawab.
Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Russayani Ismail berkata, program ini bertujuan mendokong agenda ‘UUM Living Campus’ dan menyokong projek Changlun Transformasi yang menjadikan kebersihan sebagai langkah pertama dalam proses perubahan holistik kawasan Changlun.
“Melalui program ini, kesedaran dalam kalangan warga UUM tentang pentingnya menjaga kebersihan ditingkatkan, sekaligus membiasakan pengutipan sampah sebagai sebahagian daripada budaya prihatin dan sikap tanggungjawab terhadap persekitaran,” ujarnya.
Beliau turut menyatakan bahawa projek Changlun Transformasi, yang bermula dengan usaha memastikan kebersihan di Changlun, memerlukan komitmen berterusan daripada warga UUM sebagai model masyarakat peduli terhadap persekitaran.
Program plogging ini bukan sahaja menyokong kebersihan alam sekitar, tetapi juga menjadi pemangkin kepada perubahan sikap yang lebih positif dalam menjaga kelestarian kampus dan komuniti setempat.
Peserta program telah dibahagikan kepada dua kumpulan mengikut laluan di sekitar kawasan kampus UUM. Aktiviti ini berakhir di Drive Thru Recycling Centre (DTRC), di mana sampah yang dikutip sepanjang program dibuat pengasingan dan dijual sebagai barangan kitar semula.
Anggaran jumlah sampah yang dikumpul sepanjang program adalah sekitar 15 kilogram (kg), dengan hasil barang kitar semula sebanyak 3.4 kg.
Program ini memberikan peluang kepada warga UUM untuk terlibat secara aktif dalam amalan yang menyumbang kepada kesejahteraan alam sekitar.
Pihak penganjur berharap agar program seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang bagi memperkukuh semangat komuniti dan meningkatkan kesedaran tentang kepentingan menjaga kebersihan, kelestarian kampus, serta menggalakkan gaya hidup sihat melalui aktiviti riadah.