Lifestyle

Yayasan Pekema dan TISSA-UUM salur bantuan kepada mangsa banjir

SINTOK, 9 Januari 2025: Banjir besar yang melanda beberapa kawasan baru-baru ini, terutamanya di Changlun, telah mengakibatkan kerugian besar termasuk kemusnahan harta benda pastinya cabaran untuk memulakan semula kehidupan selepas bencana ini ujian yang sangat berat buat mereka.

Prihatin terhadap nasib yang menimpa, Yayasan Pekema dengan kerjasama anak syarikat Pekema,Central Auto Distributors Bhd (CADB), dan Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz, Universiti Utara Malaysia (UUM) tampil untuk membantu 45 komuniti sekitar Changlun, termasuk staf UPSB yang terkesan.

Naib Canselor UUM, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan, berkata ketika saudara, jiran tetangga, atau kenalan menghadapi saat sukar, sumbangan dalam pelbagai bentuk seperti wang ringgit, barangan keperluan, atau tenaga kerja adalah amat bermakna.

“Kita berkumpul di sini dengan satu tujuan yang mulia, iaitu untuk menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir. Inisiatif ini juga menjadi simbol bahawa kita semua mampu bersatu hati dalam membantu mereka yang memerlukan,” ujarnya.

Menurutnya, UUM dan Persatuan Pengimpot dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (Pekema) sentiasa berusaha untuk memainkan peranan terbaik dalam membantu komuniti yang memerlukan, khususnya warga universiti yang terkesan oleh bencana ini.

“Komitmen bersama ini merupakan platform penting untuk kita menyalurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan.

“Program ini bukan sahaja bertujuan untuk meringankan beban mangsa banjir, malah mencerminkan nilai-nilai murni seperti semangat kesukarelawanan, kasih sayang, dan kepedulian sesama insan dalam memupuk keutuhan masyarakat serta memacu kesejahteraan bersama,” tambahnya.

Beliau juga menyeru agar usaha seperti ini diteruskan sebagai budaya dalam masyarakat, kerana kepedulian sosial bukan sekadar tanggungjawab, tetapi juga mencerminkan nilai kemanusiaan yang harus dijunjung tinggi.

Majlis Sumbangan Mangsa Banjir yang dianjurkan oleh Yayasan Pekema dan TISSA-UUM itu dirasmikan oleh Naib Canselor UUM.

Sementara itu, Pengurus Besar Central Auto Distributors Bhd (CADB), Wan Ahmad Fadzli Wan Mustafa, melahirkan rasa berbesar hati dengan sambutan yang diberikan melalui kerjasama yang terjalin.

“Kolaborasi adalah kunci kepada keberhasilan. Melalui sinergi antara UUM, Pekema, dan CADB, usaha bersama ini dapat memberi impak yang lebih besar,” katanya.

Beliau berharap bahawa ini adalah permulaan kepada lebih banyak program yang dirancang dan menyatakan komitmen untuk lebih kerap bekerjasama dengan UUM di masa hadapan.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Naib Canselor UUM serta Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA-UUM) atas kerjasama strategik dengan Pekema dalam menjayakan Program Charity Box.

Menurutnya, program ini adalah simbol keprihatinan bahawa dalam dunia perniagaan, aspek kemanusiaan tidak boleh dilupakan.

“Saban tahun, jutaan ringgit disalurkan untuk kerja amal termasuk bencana alam, biasiswa, dan pendidikan, yang menjadi fokus utama dalam memastikan kesejahteraan masyarakat.

“Program yang berkonsepkan ‘Box of Love’ ini membawa maksud bahawa dalam menjalankan perniagaan, seperti produk Kereta Dongfeng Box EV, kita juga harus membawa kegembiraan kepada masyarakat,” ujarnya.

Selain menyokong inisiatif kebajikan, CADB turut memainkan peranan penting dalam pembangunan industri automotif negara, dengan kenderaan elektrik (EV) sebagai pemangkin untuk memperbanyakkan EV selaras dengan sasaran kerajaan menjelang 2030.

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button