UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

‘Bin Fen – Cultural Fiesta Day’ papar budaya masyarakat Cina

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

Gambar SLCP/UUM Today

SINTOK: Perkongsian budaya penting bagi membolehkan rakyat Malaysia berbilang kaum untuk bertukar nilai, tradisi dan pengetahuan.

Kepelbagaian budaya yang terdapat di negara ini mendorong Unit Bahasa Antarabangsa, Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah (SLCP), Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan kerjasama Institut Kong Zi Universiti Malaya (KZIUM) menganjurkan program ‘Bin Fen – Cultural Fiesta Day’ di Dewan Bukit Kachi, baru-baru ini.

Pengarah program, Ang Wei Yin berkata, ‘Bin Fen’ yang bermaksud warna warni akan mengetengahkan bahasa dan budaya masyarakat Cina serta budaya dari kaum dan bangsa lain yang terdapat di UUM.

Menurutnya, program ini juga akan merapatkan jurang antara setiap individu berlainan bangsa dna agama serta budaya, sekali gus membuka minda warga universiti terhadap kepelbagaian.

Majlis telah dirasmikan oleh Timbalan Dekan (Akademik dan Antarabangsa) SLCP, Dr. Maizatul Azura Yahya dan hadir sama Pengarah KZIUM, Zhao Wanzhen.

Program dimulai dengan persembahan ‘Mask Change’ oleh Xue Feng dari Sichuan, China dan beliau merupakan pemenang Southeast Asia Performance Artist (2018) dan International Culture Mask Changing King Award (2019).

Kemudian, diikuti persembahan paluan Gendang 24 Musim oleh pelajar dari Pusat Budaya dan Seni, UUM bertajuk ‘Xin Lao’ (Hati yang terperangkap) dan diteruskan dengan aktiviti seperti drama, sajak, nyanyian, pakaian beragam, penyediaan teh, melukis tanglung, kaligrafi, anyaman tali, permainan bulu tangkis Cina dan penyepit (chopstick) serta cabutan bertuah.

Pihak KZIUM juga turut mempromosikan peperiksaan Hanyu Shuiping Kaoshi (HSK) kepada pengunjung dan menjelaskan kelebihan peperiksaan tersebut dalam membuka peluang untuk melanjutkan pelajaran ke China. UUM Sintok juga merupakan pusat peperiksaan HSK pertama dan satu-satunya yang terletak di wilayah utara ini. – Siti Nadia Rusli