UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

INNOVATE 2024 sumbang kepada pengukuhan ekosistem dalam konteks pendidikan tinggi

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

Oleh Dr. Mohd. Aamir Adeeb Abdul Rahim

BANDAR ENSTEK, 17 Mac – Pengarah Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT), Prof. Dr. Harshita Aini Haroon menekankan kepentingan merancang dan melaksanakan strategi pengukuhan ekosistem inovasi dan tekno-keusahawanan dalam konteks pendidikan tinggi.

Menurutnya, institusi pengajian tinggi (IPT) memainkan peranan yang penting dalam menggilap dan meningkatkan daya saing inovasi dan tekno-keusahawanan dalam kalangan pelajar dan staf universiti.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Program Innovation Venture and Technopreneurship In Education (INNOVATE) 2024 di AKEPT, baru-baru ini.

INNOVATE 2024 anjuran Pusat Inovasi dan Pengkomersialan (ICC) UUM dengan kerjasama Kementerian Ekonomi, AKEPT dan Universiti Putra Malaysia telah dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), UUM, Prof. Dr. Russayani Ismail.

Program INNOVATE 2024 telah mengumpulkan hampir 150 peserta dari pelbagai latar belakang, seperti institusi pendidikan tinggi awam, pusat penyelidikan kerajaan, agensi kerajaan, perusahaan kecil, mikro dan sederhana, syarikat berkait kerajaan serta anak syarikat universiti awam Malaysia.

Pengarah program INNOVATE 2024, Prof. Madya Ts. Dr. Mohd. Faizal Omar yang juga Pengarah ICC, UUM mengucapkan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan program ini.

Menurutnya, objektif program ialah untuk meningkatkan kesedaran berkaitan kepentingan inovasi dan tekno-keusahawanan dalam mengukuhkan lagi ekosistem penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi (R&D&C&I).

“Para peserta telah menyumbangkan idea-idea yang bagus dan berkualiti serta bertukar pandangan mengenai cabaran dan peluang dalam bidang inovasi dan tekno-keusahawanan.

“Kerjasama antara pelbagai pihak dari sektor pendidikan, industri dan kerajaan adalah kunci kejayaan dalam memperkukuhkan ekosistem R&D&C&I yang dinamik dan progresif,” katanya.

Pelbagai agenda disusun dalam program INNOVATE 2024 termasuk siri perkongsian daripada Presiden Persatuan Pengurus Inovasi dan Teknologi Malaysia (ITMA), Prof. Dr. Samsilah Roslan dan Profesor di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Dr. Mohd Shahir Shamsir Omar; Profesor Adjung, Pusat Pengurusan Penyelidikan (RMC), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Ts. Azra’i Shu’ib; Sam Shafie bersama pasukannya dari PitchIN; Profesor dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Dr. Ida Madieha Abdul Ghani Azmi; Pengarah Teknologi ShazInnovation Solution, Dr. Rahmat Shazi dan Naib Presiden Kanan, Malaysian Technology Development Corporation (MTDC), Mariatini Othman.

Antara pengisian INNOVATE 2024 ialah perbincangan dalam kumpulan dan sumbang saran strategi pengukuhan ekosistem inovasi dan tekno-keusahawanan dalam konteks pendidikan tinggi dalam kalangan peserta program.

INNOVATE 2024 diharapkan dapat memberi pendedahan kepada peserta dalam aspek R&D&C&I di institusi masing-masing. Percambahan ilmu melalui INNOVATE 2024 dapat memberi dorongan positif kepada pembangunan teknologi dan tekno-keusahawanan. Ini secara tidak langsung dapat menyumbang kepada peningkatan kesejahteraan masyarakat secara keseluruhan.