UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

SICONSEM 2023 platform perkongsian penemuan penyelidikan bidang sains sosial

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

Gambar UUM Press/UUM Today

SINTOK: ‘Sintok International Conference and Social Science and Management’ (SICONSEM) 2023 anjuran UUM Press buat kali kelima menjadi platform kepada peserta dan pembentang antarabangsa dan tempatan untuk membentangkan kajian dan penemuan penyelidikan secara maya selama dua hari bermula 17 Oktober lalu.

Persidangan ini berjaya menarik seramai 55 penyertaan dalam kalangan ahli sidang pengarang jurnal dan peserta dari Iraq, Indonesia, China, Thailand, Filipina, Vietnam, Nigeria dan Malaysia.

Naib Canselor, Prof. Dr. Mohd Foad Sakdan berkata, SICONSEM 2023 menjadi platform yang sangat baik untuk penyelidik, pendidik dan pelajar pascasiswazah dari seluruh dunia untuk berkumpul secara maya dan bertukar-tukar tentang penemuan mereka serta cabaran penyelidikan masing-masing.

Menurutnya, ini adalah satu-satunya persidangan di mana peserta boleh bertemu Ketua Pengarang UUM serta ahli Lembaga Editorial untuk berbincang dan menerima maklum balas yang meluas tentang pembentangan mereka.

“Saya percaya pembentangan kertas kerja oleh peserta dari dalam dan luar negara secara langsung akan menyumbang kepada perkongsian dapatan penyelidikan untuk disebarkan melalui penerbitan jurnal bagi meningkatkan keterlihatan, pengaruh, dan petikan jurnal.

“Ia juga merupakan percubaan UUM untuk menghasilkan kertas kerja berimpak tinggi dan mempromosikan jurnal UUM supaya dapat bersaing di peringkat global,” katanya dalam ucapan perasmian SICONSEM 2023.

Sementara itu, Pengarah UUM Press, Rosma Ishak berkata, SICONSEM merupakan salah satu usaha UUM Press bertujuan untuk mendapatkan makalah yang banyak dan berkualiti bagi penerbitan kesemua 24 jurnal terbitan UUM, di samping mempromosi pelbagai genre jurnal Universiti ke serata pelosok dunia.

Kata beliau, keunikan SICONSEM juga memberi peluang kepada pembentang dan peserta bertemu secara maya dan mendapat bimbingan dan ulasan secara langsung daripada ketua-ketua pengarang jurnal UUM yang menjadi pengerusi sesi kepada tiga sidang sesi persidangan berkenaan.

Menurut Rosma, persidangan ini berfokus kepada 13 subtema iaitu ‘Innovating assessments’, ‘Embracing change and developing resilience in a new world’, ‘Digital transformation within social science and management’, ‘Legal response in an era of change’, ‘Economic reforms: Opportunities and challenges’, ‘Language and management’, ‘Second language acquisition’, ‘Social change, management and sustainable’, ‘Capitalizing on management best practices toward sustainable business in a global economy’, ‘Data analytics in providing solutions to the real-world problems’, ‘Post-Covid and mental health’, ‘Marketing and management perspectives in tourism and hospitality’ dan ‘Post disaster economic reform’. – Zurina Yahya