Tadarus muslimat UUMKL menyemarakkan penghayatan ramadan
Berita dan gambar oleh Dr. Nursafwah Tugiman & Nur Afiqah Abu Bakar
KUALA LUMPUR, 16 Mac 2026: Program Sesi Khatam Al-Quran Muslimat Universiti Utara Malaysia Kampus Kuala Lumpur (UUMKL) telah dilaksanakan hari ini sebagai sebahagian daripada tradisi tahunan warga kampus dalam menyemarakkan penghayatan bulan Ramadan.
Program ini menghimpunkan staf wanita UUMKL yang bersama-sama melaksanakan aktiviti tadarus Al-Quran sepanjang Ramadan 2026.

Program tersebut turut disertai oleh staf daripada Othman Yeop Abdullah Graduate School of Business (OYAGSB) yang sama-sama mengambil bahagian dalam usaha memperkukuh amalan kerohanian serta memupuk semangat kebersamaan dalam kalangan warga universiti.
Pelaksanaan program ini bukan sahaja bertujuan meraikan kejayaan peserta menamatkan bacaan Al-Quran, malah berperanan sebagai medium pengukuhan nilai spiritual dan penghayatan terhadap ajaran Al-Quran dalam kehidupan seharian, khususnya dalam kalangan warga akademik dan pentadbiran universiti.

Menurut Prof. Dr. Norlena Hasnan yang kini menjalankan fungsi Provos Universiti Utara Malaysia Kuala Lumpur, penganjuran program seperti ini wajar diteruskan sebagai tradisi institusi yang memberi nilai tambah kepada pembangunan sahsiah warga kampus.
Katanya, “Program ini merupakan acara tahunan setiap kali Ramadan yang menjadi platform untuk bertadarus Al-Quran. Ia juga memberi ruang kepada kita untuk memperbaiki bacaan di samping mengeratkan silaturahim antara staf UUMKL dan OYAGSB. Inilah kemanisan Ramadan.”
Beliau turut menegaskan bahawa amalan membaca dan menghayati Al-Quran secara berjemaah mampu memperkukuh nilai keilmuan, integriti serta keseimbangan antara tuntutan profesional dan pembentukan rohani dalam kalangan warga universiti.
Majlis khatam tersebut diakhiri dengan bacaan doa khatam Al-Quran serta sesi penghargaan kepada para peserta yang telah menunjukkan komitmen tinggi dalam menjayakan program tadarus sepanjang Ramadan tahun ini.

