Sports

TISSA-Power Rangers juara Kejohanan Boling Piala PNC UUM COB

PERLIS: Kejohanan Boling Piala PNC UUM COB adalah acara tahunan yang telah diadakan untuk kali kedua telah berlangsung di Lite Superbowl JB3, Perlis dengan penyertaan 18 pasukan boling dari lima pusat pengajian di bawah UUM COB.

Penolong Naib Canselor UUM COB, Prof. Dr. Ram Al Jaffri Saad berkata, kejohanan ini berjaya mencapai objektif dengan penglibatan pasukan yang lebih menggalakkan berbanding tahun 2023.

Menurutnya, objektif utama kejohanan ini dapat mengeratkan hubungan antara staf pusat pengajian terdiri daripada staf pentadbiran dan akademik.

“Kejohanan ini bukan sahaja sebagai platform untuk staf menunjukkan kemahiran mereka dalam sukan boling tetapi juga sebagai medium untuk mengukuhkan hubungan antara rakan sekerja dalam suasana yang santai dan penuh keseronokan.

“Dengan kejayaan penganjuran kejohanan ini, diharapkan lebih banyak aktiviti yang sama dapat dilaksanakan pada masa akan datang untuk terus memupuk semangat kerjasama dan kebersamaan dalam kalangan ahli,” katanya.

Pasukan TISSA-Power Rangers berjaya merangkul gelaran johan dengan mengumpul jumlah jatuhan pin sebanyak 2,320, sekali gus membawa pulang wang tunai RM500 berserta piala pusingan, diikuti naib johan dimenangi oleh pasukan SBM PINTASTIC yang mencatatkan jatuhan pin sebanyak 2,095 dan menerima hadiah tunai RM300, manakala tempat ketiga diraih oleh pasukan STML EBONITE dengan jumlah jatuhan pin sebanyak 2,070 yang membawa pulang hadiah wang tunai RM150.

Selain itu, kejohanan ini turut menyaksikan pertandingan kategori individu di mana Pemain Terbaik Lelaki disandang oleh Dr. Mohd Herry Mohd Nasir dari Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA) dengan jatuhan pin sebanyak 529 bagi tiga pusingan, manakala Pemain Terbaik Wanita pula dimenangi oleh Dr. Khairina Rosli juga dari TISSA dengan jatuhan pin sebanyak 447 bagi tiga pusingan. Menariknya, Dr. Khairina berjaya mengekalkan kejuaraan kategori ini untuk dua tahun berturut-turut.

Penyampaian hadiah telah disampaikan Dr. Ram Al Jaffri yang juga Dekan TISSA. – Nur Hazlina Ghazali

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button