Sports

317 atlet sedia galas cabaran SUKIPT

SINTOK – Seramai 317 atlet Universiti Utara Malaysia (UUM) sedia menggalas cabaran dalam Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) Edisi ke-6, 2024 yang bakal berlangsung pada 6 – 14 September ini.

Kontinjen UUM terdiri daripada 186 atlet lelaki dan 131 atlet wanita bakal memeriahkan 25 acara yang dipertandingkan seperti Golf, taekwondo, olahraga, memanah dan kayak.

Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan berkata, beliau mewakili pihak pengurusan UUM merakamkan ucapan syabas kepada kontinjen UUM yang akan bertanding bersama atlet universiti awam di seluruh Malaysia.

“Dengan azam, kegigihan, latihan yang telah dilakukan setiap hari, anda akan membuat yang terbaik demi mencapai kejayaan.

“Walaupun kita bukan universiti yang memfokuskan 100 peratus dalam bidang sukan tetapi saya lihat kegigihan saudara saudari pada setiap petang berlatih, dengan penuh keyakinan merasakan saudara saudari akan membuat yang terbaik untuk menyumbang pingat kepada universiti.

Katanya, usaha yang gigih akan membuahkan kejayaan yang cemerlang dalam setiap acara sukan yang diceburi.

“Saya harap semua bekerja keras penuh dedikasi dan yang penting teruskan perjuangan selagi ada minit-minit pertandingan yang ditetapkan.

“Gunakan masa yang ada untuk terus berjuang hingga mencapai kejayaan kerana kejayaan anda adalah kebanggaan kami.

“Kita ada dua pilihan sama ada kita sebagai tuan rumah melihat kejayaan orang lain atau kita sebagai tuan rumah diraikan dengan kejayaan, sudah pasti kita inginkan kejayaan,” ucapnya pada majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Universiti Utara Malaysia ke Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) Edisi ke-6, 2024, pagi tadi.

Tambahnya, perjuangan atlet di SUKIPT bukan sekadar mewakili diri sendiri tetapi juga mewakili seluruh warga UUM selain menggunakan peluang ini untuk memperluaskan silaturahim dengan peserta lain.

“Selamat berjuang dan semoga berjaya dan kami sentiasa menantikan kejayaan anda. Anda semua ratu di hati kami,” ujarnya.

Sebagai iltizam, semangat juang dan kerjasama, Stadium UUM digegarkan dengan laungan UUM boleh!

Sementara itu, peserta Olahraga 400 meter lari berpagar, Nuraina Adriana Norazman berkata, atlet perlu menunjukkan semangat kesukanan yang tinggi dalam usaha bergelar juara.

“Persediaan setakat ini berjalan dengan lancar. Semua atlet menjalani sesi latihan seperti biasa mengikut jadual dan program yang telah diberikan oleh jurulatih.

“Jadi besarlah harapan saya untuk naik podium menggalas kejayaan demi mengharumkan nama UUM sekali gus memperbaharui masa larian,” ujarnya yang juga Pelajar Ijazah Sarjana Muda Undang-undang.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button