Dr. Zaim juara Kejohanan Golf Piala Presiden KGSS UUM 2024
Gambar Mohd Fuad Hamid
SINTOK, 12 Februari 2025: Pengarah Pusat Ko-kurikulum UUM, Dr. Zaim Ahmad muncul juara Kejohanan Golf Piala Presiden Kelab Golf Sultan Sallehuddin (KGSS) Universiti Utara Malaysia (UUM) 2024 setelah mencatatkan persembahan cemerlang dalam pertandingan yang berlangsung semalam.
Dengan handikap 11, Dr Zaim berada tiga di bawah par dengan bermain 80 pukulan.
Beliau mengatasi saingan sengit daripada Dr. Mohd Adan Omar yang meraih gelaran naib johan dengan bermain enam bawah par handikap 18, manakala tempat ketiga dimenangi oleh Ahmad Mujahid Abd Ghani.
“Saya pun tidak menyangka dapat bermain dengan tiga under walaupun handikap 11 kerana pukulan saya akhir-akhir ini agak konsisten.
“Ketetapan permainan berdasarkan maksimum tiga under juga turut membantu memungkinkan saya dinobat sebagai johan piala presiden kali ini,” katanya.
Hadiah telah disampaikan oleh Presiden KGSS yang juga Naib Canselor UUM, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan dalam satu majlis penyampaian yang berlangsung di Kelab Golf Sultan Sallehuddin (KGSS).
Menariknya, Dr. Mohd Foad turut menyertai kejohanan tersebut.
Kejohanan ini menyaksikan penyertaan seramai 99 pemain, termasuk 10 peserta dari Thailand yang turut memberikan saingan hebat sepanjang 18 lubang permainan.
Dengan kejayaan penganjuran edisi tahun 2024 ini, kejohanan ini terus membuktikan keunggulannya sebagai acara tahunan yang dinanti-nantikan oleh komuniti golf di UUM dan peringkat antarabangsa. – Kori Ariff